Perlawanan bersejarah antara pasukan Shijaiyah United dari Gaza dan Al-Ahly dari Hebron, Tebing Barat disaksikan kira-kira 7,000 penonton yang memenuhi Stadium alyarmouk di Genting Gaza.
Pegawai sukan Palestin, Abdul-Salam Haniyah menyifatkan perlawanan itu sebagai hari bersejarah dan paling gembira buat penduduk di kedua-dua wilayah Palestin itu.
“Perlawanan tersebut menunjukkan semangat perpaduan Palestin dan penduduknya,” kata Abdul-Salam.
Malah pertembungan dua kelab gergasi itu juga merupakan satu kemenangan buat penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang dihalang oleh Israel untuk berhubung antara kedua-dua wilayah itu sejak tahun 2000.
Susulan sekatan tersebut, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) sering mengkritik Israel kerana menghalang pergerakan pemain dan pada Mei lalu, Palestin mengugut mengemukakan aduan kepada FIFA.
Pegawai dan pemain luar negara juga berdepan kesukaran memasuki kedua-dua wilayah Palestin terbabit disebabkan tindakan kejam rejim Zionis Israel.
Bagaimanapun agensi pertahanan Israel yang menguruskan isu orang awam, Cogat akhirnya akur dengan permintaan PFA untuk mengadakan perlawanan persahabatan tersebut yang berkesudahan kdua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Perlawanan itu merupakan sesi pemanas badan, sebelum kedua-dua pasukan bertemu semula pada Ahad ini bagi mencari juara Piala Palestin untuk mewakili negara pada kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC). – AP