Monday 16 September 2013

Jangan tutup sempadan Gaza!

Jangan tutup sempadan Gaza!Jangan tutup sempadan Gaza!Jangan tutup sempadan Gaza!Jangan tutup sempadan Gaza!
PENUTUPAN secara berterusan laluan antara Israel dan Genting Gaza memberi kesan besar kepada penduduk Palestin. Penutupan menyebabkan laluan komersial terhalang hingga menjejaskan perniagaan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan selain kekurangan bekalan gas.

Laluan Kerem Shalom dibuka semula dua hari selepas ia ditutup pada 26 Jun lalu kononnya sebagai respons terhadap roket dibedil dari Gaza. Israel menutup laluan itu selama 21 hari sejak akhir Februari lalu dan terowong tersebut telah ditutup lima kali sepanjang tahun ini.

Penutupan selama 21 hari itu menyebabkan bekalan gas terjejas teruk. Pengedar utama gas Yusri Daban berkata, kira-kira 40,000 silinder gas kosong di stesen minyak.

“Kami gagal penuhi permintaan bekalan minyak. Ada di antara mereka menunggu sehingga sebulan untuk mendapatkan bekalan itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum laluan ditutup, pihaknya memperoleh kira-kira 1,500 silinder setiap hari atau 25 tan gas sehari. Kini, bekalan menurun kepada 18 tan sehari.

“Kami perlukan 35 hingga 45 tan sehari untuk menangani tunggakan ini,” katanya.

Persatuan Pemilik Stesen Gas Gaza melaporkan, anggaran permintaan adalah kira-kira 1,250 tan setiap minggu kini mereka hanya boleh membawa masuk 850 tan setiap minggu dan selebihnya di seludup melalui terowong dari Mesir.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Palestin Bassam Barhoum berkata, hospital awam memerlukan penggunaan lima tan gas setiap bulan untuk penyediaan makan kepada pesakit dan mengendalikan kerja-kerja pembersihan cadar dan pakaian.

“Kini bekalan hanya boleh menampung keperluan empat hari dalam seminggu,” katanya.

Bagaimana Gaza mendapat gas

Sebuah paip khas digunakan untuk menyalurkan minyak di persimpangan sempadan Israel dengan menggunakan trak minyak. Menurut Persatuan Pemilik Stesen Gas, operasi bermula pada jam 8 pagi hingga 4 petang dengan kapasiti 22 tan sejam julat antara 160-180 tan sehari.

Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (GOGAT) Kementerian Pertahanan Israel bertanggungjawab bagi penyelarasan ini. GOGAT juga bertanggungjawab terhadap penempatan gas, cukai dan yuran berasingan hujung minggu.

Persatuan itu berkata, jika jadual pengisian minyak jatuh pada hujung minggu maka kos pengangkutan lebih tinggi disebabkan  lokasi persimpangan di sempadan selatan Gaza akan sesak.

“Israel juga mengenakan pemeriksaan keselamatan lebih ketat hingga menyebabkan kesesakan di stesen saluran paip,” menurut persatuan itu.

Menurutnya, pihak persatuan pernah meminta Israel melanjutkan operasi dengan membuka persimpangan pada Jumaat dan menubuhkan tangki rizab di sebelah Palestin tetapi permintaan itu tidak dilayan.

Penutupan satu hukuman

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Gisha menjelaskan, penutupan Kerem Shalom adalah satu bentuk hukuman kolektif terhadap penduduk awam.

“Israel boleh gunakan undang-undang antarabangsa untuk menangani ancaman roket, bukanya membalas dengan cara menyekat laluan sempadan. Ini satu penganiayaan terhadap penduduk Palestin,” kata jurucakap pertubuhan itu.

Masalah ini membelenggu penduduk Palestin sejak sejak 2007. Menurut penyelaras Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) James Rawley, sekatan akses ini, adalah satu pencabulan melampau.

“Jika sekatan berterusan, ia membawa kesan serius ke atas penduduk Gaza,” katanya.

Laluan rahsia seludup haiwan

Sejak Hamas menguasai Gaza pada Jun 2006, jumlah barangan dibawa melalui terowong dari Mesir ke Gaza semakin bertambah. Ketika Intifada pertama dan sepanjang perselisihan antara Hamas dan Fatah, banyak senjata di seludup ke Gaza dari Mesir melalui terowong.

Difahamkan terdapat lebih 750 terowong digali di bawah sempadan Mesir. Jumlah itu diketahui selepas Majlis Bandar Rafah memutuskan semua pengguna terowong mesti berdaftar dan membayar cukai AS$2,200 (RM7,400) setahun.

Laluan itu bukan sahaja digunakan untuk menyeludup keperluan asas, tetapi singa, monyet, kambing dan lembu juga di seludup melalui terowong tersebut.

Bagi memenuhi haiwan di Zoo Rafah, pihak zoo terpaksa mengambil risiko menyeludup hampir separuh haiwan terdapat di zoo berkenaan.

Biasanya, monyet, ular dan singa ini di disumbatkan ke dalam karung lalu diheret melalui terowong bawah tanah di antara sempadan Mesir sebelum berakhir di terowong di zoo berkenaan.

“Harga seekor anak singa dibeli dari Mesir sekitar AS$3,000 (RM9,800)," kata pengurus zoo Shadi Fayiz, 23, yang membeli haiwan itu melalui orang tengah.

Menurutnya, zoo Rafah sangat kecil, hanya terdapat beberapa haiwan dipamerkan dalam sangkar dengan berbumbungkan payung.

“Terdapat monyet, singa dan arnab. Kesemuanya di bawa melalui terowong rahsia dengan kos AS$40,000 (RM130 ribu),” katanya.

Persaingan pasaran penyeludupan

Hari ini penduduk Rafah boleh memberitahu terowong mana dibenarkan membawa barangan pengguna, senjata atau laluan selamat untuk pengantin baru ke majlis akad nikahnya.

Dianggarkan, 90 peratus produk memasuki Gaza setiap bulan bernilai AS$40 juta (RM138 juta) dibawa melalui terowong ini. Jaringan bawah tanah ini juga adalah sumber pendapatan pergerakan Hamas dengan bayaran AS$2,700 (RM8,880) untuk setiap terowong.

Bagi orang tengah terowong di Rafah Abu Mohammed berkata, pemilik terowong boleh membina terowong baru dengan mudah sekiranya dimusnahkan.

“Anda tidak boleh membunuh hayyeh!,” katanya. (Hayyeh ialah ular dalam perkataan Arab, panggilan sinonim untuk pemilik terowong).

Menurutnya, peniaga di Gaza biasanya akan meminta beliau untuk mendapatkan barangan seperti makanan, pakaian dan minyak dari Mesir.

“Saya akan menghubungi peniaga di Mesir. Kemudian, kami akan mencari tawaran terowong yang murah sebelum mengenakan caj tambahan kepada peniaga di Gaza. Sebagai orang tengah, saya mendapat komisen dari peniaga di Mesir, pemilik terowong dan pekedai di Gaza,” katanya.

“Ada terowong mengenakan AS$100 (RM3,200) untuk satu kotak dan ada juga mengenakan hanya AS$70 (RM230). Oleh itu, saya akan bandingkan harga untuk mendapat komisen tinggi, “katanya.

Beliau berkata, urusan ini memberi pulangan lumayan terutama ketika musim perkahwinan, Ramadan dan Syawal.

“Pada Ramadan dan Syawal, saya meraih untung kerana permintaan tinggi terhadap permintaan kurma, buah zaitun dan minyak,” katanya.

Pembinaan terowong Gaza

Panjang terowong biasa antara 800 hingga 1,400 meter. Di Palestin, terowong biasanya digali bermula dari dalam bangunan runtuh atau rumah. Dari situ, penggalian dilakukan hingga mencapai kedalaman antara 15 hingga 30 meter. Pembinaannya mengambil masa paling kurang enam bulan.

Masalah hanya timbul apabila pihak berkuasa Mesir mengesan kehadiran terowong dan ada kalanya gas dilepaskan ke dalam terowong untuk membunuh mereka yang menggunakannya.

Namun, tindakan itu tidak menakutkan warga Palestin, malah, menggali terowong adalah satu pekerjaan yang upahnya mencecah AS$150 (RM480) sehari.