Usaha gesa rundingan damai Palestin-Israel bermula
Kerry (kiri) pernah bertemu dengan Abbas di Amman, Jordan, Mac lalu. Foto: Getty
SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, kelmarin mengadakan pertemuan secara berasingan bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Tel Aviv.

Pertemuan bersama kedua-dua pemimpin itu adalah sebagai usaha untuk memulakan rundingan damai yang tertangguh lebih dua tahun lalu.

Sumber di Israel memaklumkan Kerry tidak berjaya meyakinkan Netanyahu untuk menerima syarat dikenakan Palestin.

Pemimpin itu sengaja membuat helah baru dengan menegaskan rundingan itu kononnya perlu dimulakan tanpa sebarang syarat.

Menurut laporan PNN, sebelum ini, Palestin meletakkan syarat supaya Israel menghentikan projek pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta menggunakan garis sempadan 1967 sebagai asas rundingan tersebut.