Friday 25 March 2016

Indonesia batal keperluan visa kepada Palestin


Gambar hiasan.
PEMEGANG pasport Palestin tidak lagi memerlukan visa untuk memasuki Indonesia, kata Kementerian Luar Palestin, kelmarin.
Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Agensi Anadolu, Kementerian Luar Palestin berkata, pihaknya telah menerima surat rasmi daripada Kedutaan Indonesia di Amman yang menyatakan pemegang pasport Palestin tidak lagi memerlukan visa untuk memasuki negara itu.
"Berdasarkan kepada arahan Presiden Indonesia, Joko Widodo, pemegang pasport Palestin tidak diwajibkan untuk mempunyai visa masuk," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyatakan bahawa keputusan itu berkuat kuasa pada 10 Mac.
Kementerian itu berkata, keputusan datang sebagai hasil daripada hubungan yang kuat antara Palestin dan Indonesia.

Dua lagi penduduk Palestin jadi korban Israel

Tentera Israel mengusung satu daripada jenazah penduduk Palestin

Tentera Israel mengusung satu daripada jenazah penduduk Palestin yang mati ditembak di penempatan haram Yahudi di Tal Rumaida, Hebron, Tebing Barat, semalam. REUTERS
BAITULMAQDIS 24 Mac – Dua penduduk Palestin ditembak mati oleh tentera Israel di bandar Hebron, Tebing Barat kerana didakwa menikam seorang askar rejim Zionis itu, hari ini.
Menurut jurucakap tentera Israel, insiden tikaman itu berlaku di jalan masuk yang dikawal ketat di penempatan haram Yahudi di Tal Rumaida, Hebron.
Pegawai perubatan berkata, anggota tentera terlibat kini berada berada dalam keadaan stabil.
Insiden itu merupakan yang terbaharu dalam gelombang kebangkitan penduduk Palestin, yang menyaksikan 200 penduduk Palestin terbunuh, penduduk Israel (28), Amerika Syarikat (2) dan masing-masing seorang rakyat Eritrea dan Sudan mati sejak 1 Oktober lalu.
Kebanyakan penduduk Palestin dibunuh semasa mereka di­dakwa membawa pisau, pistol dan memandu kereta, manakala yang lain ditembak mati semasa pertempuran dan tunjuk perasaan termasuk dalam serangan udara tentera rejim itu terhadap Gaza.
Tentera Israel meningkatkan kawalan di bandar berkenaan menjelang cuti perayaan Purim yang diraikan oleh penduduk Yahudi.
Menjelang perayaan itu, Israel turut menutup Tebing Barat sehingga Sabtu ini, sekali gus men­yukarkan penduduk Palestin untuk pergi bekerja. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dua-lagi-penduduk-palestin-jadi-korban-israel-1.204160#sthash.e6NFutsz.dpuf