Wednesday, 29 July 2015

Bincang isu al-Aqsa

Bincang isu al-Aqsa
Kekecohan tercetus selepas pihak berkuasa Israel menghalang penduduk Palestin daripada memasuki pekarangan al-Aqsa, Ahad Lalu. - Foto: AFP

RAMALLAH - PALESTIN. Menteri Luar Liga Arab akan mengadakan pertemuan di Kaherah, 5 Ogos depan bagi membincangkan insiden pertempuran di kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa pada Ahad lalu.

Kelmarin, Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat berkata, kesemua wakil dari 15 negara Arab itu akan menyertai mesyuarat yang memfokuskan isu 'perkembangan berbahaya' di Baitulmaqdis tersebut.

"Kami akan turut berbincang mengenai pencabulan berterusan rejim Zionis ke atas al-Aqsa, projek penempatan haram Yahudi dan perlanggaran hak asasi penduduk Palestin.

"Mesyuarat itu juga akan membincangkan langkah perdamaian Palestin dan usaha baharu rantau Arab untuk menamatkan pendudukan Israel melalui PBB," jelasnya.

Difahamkan, kesemua 15 menteri luar itu turut terlibat dalam Inisiatif Keamanan Arab 2002 yang menuntut Tel Aviv berundur dari wilayah Palestin sebagai pertukaran untuk memulihkan semula hubungan dengan negara Arab.

Bagaimanapun, Israel terus berdegil sebaliknya melakukan pencabulan sewenang-wenangnya termasuk mengusir dan merampas tanah milik penduduk Palestin.

Dalam satu kenyataan lain, Imam Besar Masjid al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed el-Tayeb turut mengutuk perbuatan biadab rejim Zionis kerana mencemar kesucian al-Aqsa.

"Tindakan provokasi pihak berkuasa Israel ke atas masjid ketiga paling suci itu jelas menyinggung perasaan umat Islam," katanya dalam laporan al-Arabiya.

Peneroka Yahudi halang roboh rumah



REUTERS - SEORANG peneroka muda dilihat bercakap dengan seorang anggota polis Yahudi berhampiran sebuah bangunan yang bakal dirobohkan atas arahan Mahkamah Tinggi Israel di penempatan haram Beit El semalam.


BAITULMUQADDIS – Peneroka haram Yahudi bertempur dengan polis Israel semalam ketika pihak berkuasa merampas beberapa kediaman yang sedang dibina di kawasan Tebing Barat yang diduduki, selepas sebuah mahkamah memutuskan bangunan-bangunan haram itu perlu dirobohkan.
Mahkamah Tinggi Israel bulan lalu mengarahkan dua bangunan di penempatan haram Beit El di utara Ramallah dirobohkan sebelum 30 Julai ini.
Sekitar 50 peneroka haram muda bertahan di dalam bangunan tersebut bagi membantah tindakan meroboh itu dan mereka terpaksa dialihkan anggota polis sebelum subuh semalam.
Rakaman video yang dipaparkan media tempatan menunjukkan anggota polis bergelut dengan penunjuk perasaan di tapak bangunan haram dikenali sebagai Dreinoff itu yang dibina atas tanah persendirian milik orang Palestin tetapi telah dirampas tentera Israel pada 1970-an.
“Satu unit polis sempadan mengambil alih bangunan Dreinoff semalam bagi mengelakkan berlakunya keganasan sebelum struktur itu dirobohkan seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini,” jelas tentera Israel melalui satu kenyataan.
Namun, masih ada usaha perundangan bagi menghalang tindakan meroboh struktur tersebut dan tidak dapat dipastikan sama ada arahan mahkamah itu akan dilaksanakan.
Kawasan perumahan Israel di kawasan Tebing Barat yang diduduki dianggap sebagai penempatan haram mengikut undang-undang antarabangsa tetapi tidak bagi kerajaan Israel.
Penempatan haram itu dilihat menyukarkan lagi usaha rundingan damai ke arah sebuah negara Palestin berdaulat yang telah tergantung sejak tahun lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3hE7mRGzI 
Hakcipta terpelihara 

Peneroka haram dihalau Zionis


Penduduk Yahudi diusir polis sempadan Israel

Seorang gadis bertengkar dengan polis sempadan Zionis selepas
Seorang gadis bertengkar dengan polis sempadan Zionis selepas Mahkamah Tinggi Israel mengarahkan perobohan bangunan serta kediaman-kediaman haram di kawasan penempatan Yahudi Beit El , berhampiran Ramallah, Tebing Barat, semalam. REUTERS
TEL AVIV 28 Julai - Beratus-ratus penduduk penempatan haram Yahudi bertempur dengan pihak polis sempadan Israel di Tebing Barat awal pagi ini berhubung pembinaan dua buah bangunan tanpa permit di utara Ramallah.
Menurut seorang saksi, pertempuran meletus selepas polis sempadan Israel mengepung dan mengambil alih dua buah bangunan berhampiran kawasan penempatan haram di Beit El di utara Ramallah yang dibina tanpa permit.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya bertindak mengerahkan anggota polis sempadan ke Beit El menjelang operasi merobohkan bangunan-bangunan haram di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, rata-rata penduduk enggan keluar dari kediaman mereka sehingga memaksa anggota polis menggunakan kekerasan mengusir mereka keluar.
Dalam pada itu, ratusan penduduk haram turut bersembunyi di sebuah penempatan haram di Sanur, utara Tebing Barat yang telah dikosongkan kira-kira 10 tahun lalu sebagai sebahagian daripada pelan pengunduran Israel 2005.
Antara penduduk penempatan haram itu ialah kumpulan rahib, pemimpin utama pro-Yahudi, dan puluhan keluarga yang pernah dihalau keluar dari Sanur sedekad lalu.
Pihak berkuasa Israel telah memberikan tempoh sehingga 2 petang waktu tempatan agar mengosongkan lokasi tersebut atau berdepan dengan tindakan susulan. – DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/peneroka-haram-dihalau-zionis-1.118065#sthash.NUBvKsIh.dpuf