RAMALLAH - PALESTIN. Menteri Luar Liga Arab akan mengadakan pertemuan di Kaherah, 5 Ogos depan bagi membincangkan insiden pertempuran di kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa pada Ahad lalu.

Kelmarin, Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat berkata, kesemua wakil dari 15 negara Arab itu akan menyertai mesyuarat yang memfokuskan isu 'perkembangan berbahaya' di Baitulmaqdis tersebut.

"Kami akan turut berbincang mengenai pencabulan berterusan rejim Zionis ke atas al-Aqsa, projek penempatan haram Yahudi dan perlanggaran hak asasi penduduk Palestin.

"Mesyuarat itu juga akan membincangkan langkah perdamaian Palestin dan usaha baharu rantau Arab untuk menamatkan pendudukan Israel melalui PBB," jelasnya.

Difahamkan, kesemua 15 menteri luar itu turut terlibat dalam Inisiatif Keamanan Arab 2002 yang menuntut Tel Aviv berundur dari wilayah Palestin sebagai pertukaran untuk memulihkan semula hubungan dengan negara Arab.

Bagaimanapun, Israel terus berdegil sebaliknya melakukan pencabulan sewenang-wenangnya termasuk mengusir dan merampas tanah milik penduduk Palestin.

Dalam satu kenyataan lain, Imam Besar Masjid al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed el-Tayeb turut mengutuk perbuatan biadab rejim Zionis kerana mencemar kesucian al-Aqsa.

"Tindakan provokasi pihak berkuasa Israel ke atas masjid ketiga paling suci itu jelas menyinggung perasaan umat Islam," katanya dalam laporan al-Arabiya.