Amnesty ada bukti kukuh libatkan imej satelit, gambar
30 Julai 2015 1:41 AM
BAITULMAQDIS 29 Julai - Amnesty International menyatakan satu analisis serangan Israel di Genting Gaza ekoran penangkapan seorang askarnya dalam perang pada tahun lepas di wilayah Palestin, menunjukkan ‘bukti kukuh’ berlakunya jenayah perang.
Badan hak asasi manusia itu meminta mereka yang bertanggungjawab melakukan kesalahan tersebut didakwa ketika Amnesty International menerbitkan analisis terperinci operasi ketenteraan Israel melibatkan keterangan saksi, imej satelit, gambar, dan video.
“Terdapat bukti kukuh tentera Israel melakukan jenayah perang dalam serangan di kawasan perumahan di Rafah untuk menggagalkan penangkapan Leftenan Hadar Goldin, dan tidak mempedulikan nyawa orang awam.
“Rejim Yahudi melancarkan siri serangan tanpa melakukan siasatan terperinci,’’ kata Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara, Amnesty International, Philip Luther dalam satu kenyataan.
Israel menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan laporan Amnesty International sebagai salah ekoran pendekatan, fakta, dan analisis perundangan yang cacat.
Analisis tersebut membabitkan kejadian yang berlaku pada 1 Ogos tahun lalu apabila Goldin ditangkap sejurus satu gencatan senjata diumumkan.
Goldin kemudian diumumkan mati.
Ekoran kematian Goldin, tentera Israel telah melaksanakan Arahan Hannibal yang merupakan satu prosedur membenarkan tindakan balas ketenteraan untuk menyelamatkan askar yang ditangkap.
Israel mengebom bandar Rafah dan kawasan sekitar di selatan Genting Gaza berdekatan sempadan Mesir.
“Tentera Zionis melancarkan serangan bom bertubi-tubi tanpa amaran ketika orang ramai berada di jalan raya dan di dalam kenderaan. Mereka ini menjadi sasaran.
“Saksi turut menceritakan keadaan huru-hara di lokasi serangan ketika api marak akibat bedilan jet-jet pejuang F-16. Helikopter dan drone turut melancarkan serangan udara ke jalan-jalan, mengenai orang ramai yang berjalan kaki ketika ambulans dan kenderaan lain membawa mangsa yang cedera ke hospital,” jelas Amnesty International. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jenayah-perang-israel-1.118486#sthash.vj2IigtS.dpuf
No comments:
Post a Comment