Hamas kritik UNRWA
UNRWA memutuskan untuk mengurangkan bantuan kepada pelarian Palestin.
GENTING GAZA - PALESTIN. Gerakan Hamas mengkritik tindakan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) kerana mengehadkan perkhidmatan mereka kepada pelarian Palestin.

Menurut Press TV, kritikan itu dibuat selepas agensi antarabangsa itu mengumumkan bahawa mereka telah mengurangkan bantuan kepada kumpulan pelarian termasuk yang tinggal di Genting Gaza akibat kekurangan dana pada Sabtu lalu.

Jurucakap Hamas menegaskan tindakan UNRWA itu hanya akan memburukkan lagi situasi di wilayah tersebut yang masih berdepan sekatan haram Israel.

Terdahulu, agensi di bawah PBB itu turut memaklumkan bahawa mereka mungkin terpaksa menangguhkan sesi persekolahan di kira-kira 700 sekolah di Timur Tengah akibat masalah kewangan tersebut.

"Langkah itu hanya permainan politik yang direka untuk menghapuskan sektor pendidikan dengan menjadikan masalah teknikal dan kewangan sebagai alasan semata-mata," katanya lagi.

Hamas turut menggesa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) supaya memikul tanggungjawab untuk mengatasi masalah yang dihadapi pelarian Palestin.

Khamis lalu, Penyelaras Khas PBB, Nickolay Mladenov memberi amaran bahawa UNRWA kini mengalami masalah kekurangan dana berjumlah lebih AS$100 juta (RM381 juta) yang mungkin boleh membawa kepada penutupan ratusan sekolah di rantau Arab.  

Difahamkan, lebih 1,258,550 pelarian Palestin berdaftar ditempatkan di lapan kem penempatan di Genting Gaza manakala 762,280 lagi berada di 19 kem pelarian di Tebing Barat. - Press TV