Thursday 18 September 2014

Malaysia sedia latih polis Palestin


  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Mejar Jeneral Hazim Attallah ketika menerima kunjungan Ketua Polis Palestin itu di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini. Turut sama ialah Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha (kiri). - Foto BernamaMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Mejar Jeneral Hazim Attallah ketika menerima kunjungan Ketua Polis Palestin itu di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini. Turut sama ialah Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha (kiri). - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia bersedia memberikan latihan kepolisan meliputi aspek pencegahan jenayah, pengurusan dan logistik kepada pegawai dan anggota polis Palestin dalam usaha meningkatkan kerjasama kedua-dua negara. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu bagaimanapun tidak membabitkan persenjataan, sebaliknya hanya memberi fokus
kepada latihan kepolisan.

“Ini merupakan jalinan yang dirintis semasa era pentadbiran (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Palestin Yasser Arafat...ia
disambung kini antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

“Kita tidak pernah campur tangan dalam soal politik dalaman Palestin tetapi PDRM (Polis DiRaja Malaysia) sedia memberikan latihan di pusat-pusat latihan
polis kepada pegawai dan anggota polis Palestin. Kita tidak akan bagi bantuan persenjataan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Ketua Polis Palestin Mejar Jen Hazim Atallah dan delegasnya di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Hamdto Qasem Al-Agha. 

Ahmad Zahid berkata latihan yang akan diberikan merangkumi pembanterasan dan pencegahan jenayah, narkotik, komersil, pengurusan, trafik dan ketenteraman dalam negeri. 

“Tempoh latihan bergantung kepada model yang kita ada, jika di Pusat Latihan Pulapol (Pulapol) Jalan Semarak, tempohnya sembilan bulan dan di Pulapol Kuala Kubu Bharu, tempohnya setahun,” katanya. 

Beliau berkata tawaran latihan itu menunjukkan keprihatinan Malaysia dalam mengekalkan keselamatan rakyat Palestin di Ramallah, Gaza dan Tebing Barat.
  
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata polis Malaysia turut bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) dan Badan Perisikan Antarabangsa bagi menyiasat dakwaan kononnya wujud pembiayaan keganasan melibatkan rakyat Malaysia.

“Kita sedang siasat perkara ini. Malah, sebelum ia dikeluarkan di akhbar Australia, siasatan telah pun dimulakan selepas kita mendapat maklumat daripada
polis Australia," katanya. 

Beliau mengulas laporan media Australia yang  melaporkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat kiriman wang di negara itu selepas didapati menyalurkan sekurang-kurangnya RM100,000 kepada individu yang tidak dinamakan di Malaysia.

Ahmad Zahid memberi jaminan kepada Australia bahawa melalui Akta AntiPengubahan Wang Haram dan AntiPembiayaan Keganasan (AMLA-ATFA) 2001,  Kementerian Dalam Negeri tidak berkompromi dalam mengizinkan sebarang saluran wang haram diberikan kepada individu atau pertubuhan keganasan tempatan atau asing. - Bernama

Gencatan senjata Gaza dicabuli


18 September 2014

GAZA - PALESTIN. Israel mendakwa sebutir mortar dari Gaza mendarat di selatan Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata di kuatkuasakan bulan lalu.

Ledakan bom itu dilaporkan tidak menyebabkan sebarang kerosakan.

Wakil Hamas yang mengawal Genting Gaza bagaimanapun menafikan berlaku serangan mortar terbabit

"Kami komited dengan gencatan senjata. Laporan itu adalah palsu dan sengaja dibuat untuk memprovokasi kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan perjanjian antara Israel dan Palestin bagi membenarkan kemasukan bahan binaan ke Gaza.

Utusan PBB ke Timur Tengah Robert Serry berkata, perjanjian itu dibuat bagi memastikan bahan binaan itu tidak diambil oleh mana-mana pihak.

"Perjanjian mengenai pemantauan bekalan bahan mentah ini mesti dikuatkuasakan dengan segera,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seorang peguam Palestin mengesahkan, terdapat bukti jelas berlakunya penderaan terhadap tahanan di penjara Israel.

"Kami mendapat akses untuk menemu bual empat tahanan di penjara Ashkelon. Mereka mengaku, dipukul dan didera secara fizikal dan mental.

Pengakuan itu diperkuatkan dengan pemeriksaan fizikal terhadap mereka," katanya, laporan dipetik dari Agensi.

Ahli Parlimen anti-Israel terima ancaman bunuh

Galloway
Galloway
LONDON - BRITAIN. Ahli Parlimen Britain, George Galloway yang dikenali sebagai anti-Israel menerima ancaman bunuh, kelmarin.

Polis Scotland Yard yang mengesahkan kejadian itu berkata, ancaman itu dibuat menerusi surat yang dikirimkan kepada Istana Westminster.

Menurutnya, antara kandungan surat berkenaan berbunyi, "Beliau akan mati akibat virus maut".

"Surat itu dihantar dari Austria selepas disahkan oleh cap pos. Kini, kami membentuk unit siasatan anti-keganasan untuk menyiasat surat berkenaan kerana ia mempunyai niat jahat dan mengancam nyawa," katanya.

Namun, sehingga kini, belum ada laporan penangkapan diterima.

Sementara itu, media Britain mengaitkan ancaman bunuh itu mempunyai kaitan dengan kritikan Galloway terhadap serangan maut Israel terhadap seorang rakyat Palestin di Genting Gaza, baru-baru ini. - Press TV

Israel dakwa Hamas lancar serangan mortar


Gambar bertarikh 13 September lalu, menunjukkan seorang wanita Palestin masak di atas timbunan runtuhan rumahnya yang musnah dibedil tentera Israel di timur Khan Younis di selatan Genting Gaza. - REUTERS
BAITULMAQDIS 17 Sept. - Tentera Israel mendakwa penduduk Palestin melancarkan serangan mortar ke selatan Israel semalam, bedilan pertama sejak gencatan senjata 26 Ogos lalu dikuatkuasakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Buat kali pertama sejak tindakan ketenteraan ke atas Genting Gaza, bedilan mortar itu dilancarkan dari Gaza dan mengenai selatan Israel.
"Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Peter Lerner dalam laman Twitternya.
Dalam pada itu di Gaza, jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pergerakan itu dan kumpulan-kumpulan lain mahu gencatan senjata berusia tiga minggu tersebut dikekalkan.
"Rakyat Palestin komited dengan gencatan senjata ini. Kami mahu usaha ini diteruskan," katanya.
Sami pada masa sama mempersoalkan sama ada serangan seperti mana yang dilaporkan Israel itu benar-benar berlaku.
"Tiada bukti yang menunjukkan terdapat serangan mortar dari Genting Gaza ke Israel," katanya.
Menurut kenyataan tentera Israel, peluru mortar itu jatuh di daerah Eshkol yang bersempadan dengan Genting Gaza. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140918/lu_05/Israel-dakwa-Hamas-lancar-serangan-mortar#ixzz3DcECQ6Le
© Utusan Melayu (M) Bhd