Sunday 12 June 2016

Israel dikecam gagal selesai konflik Palestin secara baik


Bapa mangsa tembakan mahu rejim Zionis hentikan pertumpahan darah
12 Jun 2016 12:06 AM
AHLI keluarga dan rakan-rakan meratapi kematian Ido Ben Ari semasa

AHLI keluarga dan rakan-rakan meratapi kematian Ido Ben Ari semasa majlis pengebumian mangsa di Tel Aviv, baru-baru ini. AGENSI
TEL AVIV 11 Jun - Bapa kepada salah seorang mangsa kejadian tembakan di sebuah pasar raya di sini mengecam rejim Israel kerana gagal melakukan usaha secukupnya untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Menurut Jewish Telegraphic Agency, lelaki tersebut iaitu bapa kepada mangsa, Ido Ben Ari, yang tidak mahu namanya disiarkan turut mengkritik tindak balas rejim itu terhadap Palestin.
Malah menurutnya, pemimpin-pemimpin Israel yang dilantik secara demokrasi perlu mencari jalan penyelesaian strategik, bukannya melemparkan kenyataan yang menimbulkan kebencian.
“Selepas serangan tersebut, Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) dan dua orang mente­ri tiba di lokasi kejadian tetapi dalam masa yang sama seorang anggota Kabinet mengeluarkan arahan untuk tidak memulangkan jenazah rakyat Pa­lestin, me­ngadakan sekatan, memusnahkan rumah-rumah rakyat Palestin dan menjadikan keadaan lebih sukar,” katanya.
Lelaki berusia 42 tahun itu berkata, penyelesaian yang dibuat itu mewujudkan penderitaan, kebencian dan kesedihan malah mendorong lebih banyak penduduk untuk menyertai keganasan.
“Apa yang diperlukan ialah penyelesaian daripada hanya me­ngatakan sepanjang masa bahawa tiada siapa yang perlu berdamai. Kami memilih kamu untuk menghentikan pertumpahan darah dan sekarang sudah 49 tahun kamu cuba menyelesaikan masalah namun gagal. Sudah tiba masanya untuk mencari penyelesaian strategik,’’ katanya semasa menghadiri pengebumian anaknya itu di Yavne dekat sini.
Ben Ari dari Ramat Gan merupakan antara empat mangsa yang terbunuh dalam kejadian tembakan oleh dua rakyat Palestin di pasar Sarona di tengah Tel Aviv, kelmarin.
Dalam kejadian tersebut, Ben Ari sedang makan malam bersama-sama isteri dan dua anaknya di Restoran Benedict dan dalam kejadian itu isterinya turut cedera.
Susulan itu, Israel bertindak memba­talkan permit 83,000 penduduk Palestin dari Baitulmaqdis untuk pergi ke Gaza sepanjang Ramadan ini.
Penyelaras Aktiviti-Aktiviti Kerajaan di Tebing Barat (COGAT) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu menjejaskan ramai penduduk Palestin manakala permit 500 penduduk Gaza untuk melawat ahli keluarga mereka dan Masjid al-Aqsa sepanjang Ramadan ini juga dibekukan.
Dalam pada itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat tindakan Israel itu sebagai ‘hukuman kolektif’, yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.
Biarpun mengutuk serangan oleh warga Palestin itu, beliau turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap tindakan susulan Israel.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-dikecam-gagal-selesai-konflik-palestin-secara-baik-1.341306#sthash.EY1ISX24.dpuf