Dalam usaha membunuh penyerang, polis Israel telah tersalah tembak seorang penduduk Yahudi sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius sebelum meninggal dunia.
Jurucakap polis, Luba Samri berkata, kejadian semalam berlaku betul-betul di luar Gerbang Jaffa, yang merupakan satu daripada pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis.
“Polis sempadan separa tentera melihat lelaki bersenjatakan pisau menikam seorang lelaki lain. Polis kemudian melepaskan tembakan sehingga mengakibatkan pen­yerang terkorban,” jelas Luba.
Pegawai hospital mengesahkan, seorang penduduk Yahudi turut terkorban dalam kejadian tersebut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius akibat ditikam.
Jurucakap Polis Baitulmaqdis, Asi Aharoni berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung sebuah video yang tersebar di laman sosial memaparkan bagaimana seorang lelaki memukul penyerang dengan menggunakan besi.
“Hasil siasatan kami mendapati lelaki berkenaan memukul pen­yerang kerana penyerang mahu menikam orang ramai walaupun tercedera akibat ditembak,” ujarnya lagi.
Sejak bulan Oktober lalu, kejadian tikaman, tembakan serta rempuhan kereta didakwa dilakukan oleh penduduk Palestin berlaku hampir setiap hari dan sehingga kini telah mengakibatkan lebih 20 orang penduduk Yahudi terkorban. – REUTERS