POSTER kempen menggesa penduduk Palestin memulaukan produk yang dihasilkan oleh enam syarikat Israel yang dilancarkan pergerakan Fatah. - AGENSI
RAMALLAH, Tebing Barat 12 Feb. – Aktivis Pergerakan Fatah melancarkan kempen menggesa penduduk Palestin memulaukan produk yang dihasilkan oleh enam syarikat makanan dari Israel.
Mereka berkata, kempen itu merupakan tindak balas daripada keputusan Israel untuk menghentikan pemberian hasil cukai kepada pihak berkuasa Palestin.
Israel mengambil langkah tersebut selepas Palestin diterima menjadi anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).
Seorang pegawai pergerakan Fatah, Mahmoud Aloul yang mengendalikan kempen tersebut berkata, kedai milik penduduk Palestin diberikan tempoh dua minggu untuk membersihkan rak-rak di kedai mereka daripada barangan syarikat-syarikat berkenaan.
“Aktivis Palestin akan membuat lawatan ke wilayah Palestin untuk merampas produk-produk berkenaan selepas tempoh dua minggu,” ujar Mahmoud.
Kempen ini disasarkan kepada beberapa syarikat Israel termasuk Tnuvam Strauss, Elite Osem, Prigat dan Jafora.
Syarikat Tnuvam dan Strauss enggan mengulas tentang kempen tersebut. Kementerian Luar Israel juga enggan mengulas berkaitan kempen tersebut.
Sebelum ini, penduduk Palestin digesa memulaukan perkara yang sama tetapi kempen tersebut tidak berjaya kerana kekurangan alternatif dari wilayah Palestin dan permintaan tinggi bagi barangan Israel yang berkualiti tinggi.
Menurut penjual, tempoh selama dua minggu tidak mencukupi untuk membersihkan barangan tersebut dari rak-rak perniagaan mereka dan sesetengah berkata, perniagaan milik penduduk Palestin tidak mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan pasaran tempatan.
Sementara itu, seorang pakar ekonomi dari Universiti Tel Aviv, Yitzhak Gal berkata, dianggarkan eksport makanan dari Israel ke Tebing Barat bernilai AS700 juta (RM2.5 juta).
“Bagi beberapa produk, pasaran Palestin sangat penting kepada syarikat Israel,” ujarnya, sambil menambah kata, terlalu sukar untuk penduduk Palestin menguatkuasakan kempen pemulauan itu dan meramalkan Israel akan tetap menghentikan pembayaran cukai itu. – AGENSI