Saturday 14 June 2014

Lelaki minta dibicarakan


WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Jun 2014


KUANTAN - Seorang buruh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Majistret, dekat sini, semalam atas tuduhan menjalankan perniagaan hiburan internet tanda lesen yang sah daripada pihak berkuasa.

Tertuduh, Muhammad Efendi Rodimin, 31, dari Paka, Terengganu, dituduh menjalankan perniagaan tersebut di sebuah premis di Jalan Datuk Bahaman, Kubang Buaya pada 9 Jun lepas, lebih kurang jam 11.55 malam.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) (b) Enakmen Hiburan 1993 (Pahang) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang mengaku bekerja sebagai buruh binaan dengan berpendapatan dalam lingkungan RM800 sebulan dan perlu menyara dua adik memohon  mahkamah meringankan jaminan.

Majistret Jessica Daimis yang mengambil kira rayuan tertuduh mengarahkan lelaki tersebut diikat jamin RM3,000 sementara menunggu kes perbicaraan pada 1 Julai depan.

Keluarga tahanan Palestin sertai mogok lapar


14 Jun 2014

RAMALLAH - PALESTIN. Keluarga tahanan Palestin yang  mogok lapar di penjara Israel turut melancarkan tindakan sama sebagai tanda perpaduan dengan saudara mereka.

Menurut Press TV, bapa kepada salah seorang tahanan, Nidal al-Srafeesi nekad mogok lapar sejak lebih dua minggu lalu sebagai sokongan kepada anaknya.

"Mereka tidak akan menamatkan mogok lapar sehingga pihak berkuasa Israel akur dengan tuntutan kesemua tahanan di bawah penahanan pentadbiran.

Susulan daripada itu, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan tegas terhadap rejim Zionis yang melakukan penindasan terhadap tahanan Palestin.

Sejak 24 April lalu, lebih 120 tahanan menyertai mogok lapar walaupun tindakan itu kini mengancam nyawa mereka.