Anggota PLO, Wassel Abu Yussef berkata, selain Mahmoud, separuh daripada 18 anggota jawatankuasa berkenaan turut meletak jawatan.
Bagaimanapun, punca Mahmoud meletak jawatan masih tidak jelas dan berkemungkinan besar ada kaitan dengan usaha beliau untuk memilih anggota jawatankuasa PLO yang baharu.
“Peletakan jawatan Mahmoud bersama-sama separuh anggota jawatankuasa PLO menyebabkan wujud situasi tidak menentu dalam PLO. Majlis Kebangsaan Palestin (PNC) kini diberi kuasa untuk memilih anggota jawatankuasa baharu dalam tempoh sebulan,” jelas Wassel.
Wassel menambah kata, peletakan jawatan mereka hanya akan berkuatkuasa selepas kesemua anggota PNC mengadakan pertemuan.
Katanya, sebelum pengumuman peletakan jawatan berkenaan, kesemua anggota jawatankuasa eksekutif sebulat suara memilih ketua perun­dingan Palestin, Saeb Erakat sebagai Setiausaha Agung PLO, yang baharu.
“Pemilihan itu dibuat selepas Mahmoud menggantung tugas seorang anggota penting dalam PLO iaitu Yasser Abed Rabbo sebagai Setiausaha Agung badan eksekutif Palestin itu,” ujar Wassel.
PNC atau lebih dikenali sebagai Parlimen Palestin mempunyai 740 orang anggota dan sudah hampir 20 tahun tidak mengadakan pertemuan.
Jawatankuasa Eksekutif (PLO) merupakan badan pembuat keputusan tertinggi dalam Palestin dan beberapa kawasan jajahannya, termasuk dalam usaha mencari jalan menganjurkan rundingan damai bersama Israel. – AFP