Thursday, 11 June 2015

Ditembak mati lepas solat Subuh

Nablus: Seorang lelaki Palestin terbunuh selepas ditembak polis Israel di kem pelarian di utara Tebing Barat, semalam.
Sumber perubatan dan keselamatan berkata, Ezzedine Ghora, 23, ditembak di lengan dan dada dan mati sebelum tiba di hospital.
Dalam satu kenyataannya, polis Israel berkata, kejadian berlaku ketika pasukan polis sempadannya menyerbu kem di bandar Jenin itu pada awal pagi untuk melakukan penangkapan.
“Polis melihat suspek cuba melontar bahan letupan ke arah mereka,” kata kenyataan itu.
Seorang anggota polis sempadan berkenaan menembaknya.
Bagaimanapun, cawangan Hamas di Jenin yang mendakwa Ezzedine anggotanya menuduh polis Israel menembak lelaki itu ketika dia keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh.
Menurut mereka tidak ada sebarang rusuhan berlaku ketika itu.
“Polis Israel sengaja melepaskan tembakan,” menurut kenyataan Hamas menerusi akaun Twitternya.
Kenyataan itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ezzedine selain menggesa Pihak Berkuasa Palestin dan pasukan keselamatannya menghentikan kerjasama keselamatan dengan Israel, merujuk kepada perjanjian autonomi Oslo yang ditandatangani pada 1993.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 6:59 AM


JENAZAH Ezzedine yang diselubung dengan bendera Hamas diusung untuk dikebumikan di Jenin, Tebing Barat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57005#sthash.51PKXVqc.dpuf

Israel mahu negara Arab pujuk Palestin kembali berunding

seorang wanita Palestin meluahkan perasaannya ketika pekerja-pekerja

Seorang wanita Palestin meluahkan perasaannya ketika pekerja-pekerja menggunakan jentolak untuk membersihkan runtuhan bangunan di Kampung Khuzaa, timur Khan Yunis di selatan Gaza pada 1 Jun lalu, ekoran serangan tentera Israel ke atas Gaza pada musim pansa tahun lalu. AFP

BAITULMAQDIS 10 Jun – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berharap negara-negara Arab akan memujuk Palestin supaya kembali ke meja rundingan bagi memastikan pembentukan dua negara tercapai, sekali gus menamatkan konflik Palestin-Israel yang berlarutan lebih enam dekad itu.
Netanyahu ketika berucap pada satu majlis di Tel Aviv, meletakkan kesalahan kepada pihak Palestin ekoran kebuntuan rundingan damai selama 14 bulan, tetapi beliau percaya rundingan boleh disambung semula dengan bantuan negara-negara Arab.
“Rundingan mungkin dapat disambung semula kerana beberapa negara Arab bersetuju dengan pendapat saya dan diharap mereka dapat memujuk Palestin kembali ke meja bulat dengan situasi yang lebih positif,” katanya.
Rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) menemui jalan buntu sejak April tahun lalu ekoran perbezaan pendapat antara Palestin dan Israel berhubung isu penempatan haram Yahudi dan pembentukan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah, yang tidak mendapat restu rejim Zionis itu.
Baru-baru ini, wakil Perancis menyerahkan rangka kerja rundingan damai kepada Liga Arab sebagai persediaan mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan Israel dan Palestin kembali berbincang dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.
Dalam perkembangan lain, populariti pergerakan Hamas yang menguasai wilayah Palestin di Genting Gaza meningkat dalam kalangan penduduk Palestin sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada tahun lalu, walaupun ramai pihak berpendapat kemusnahan ekoran serangan itu melebihi pengaruh yang dicapaia pergerakan itu.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan Pusat Dasar dan Tinjauan Palestin, kira-kira 39 peratus penduduk Palestin menyokong Hamas, jika pilihan raya umum diadakan, meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding 32 peratus pada tahun lalu.
Tetapi tinjauan berkenaan juga mendapati, kira-kira 50 peratus penduduk di Gaza menimbangkan pilihan untuk berhijrah dari wilayah Palestin itu, yang mengalami krisis kemiskinan dan sekatan akibat penindasan Israel.
Pegawai yang terlibat dalam tinjauan tersebut, Khalil Shikaki berkata, kira-kira 63 peratus penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat berasa kecewa dengan penderitaan yang perlu mereka tanggung akibat serangan Israel ke atas Gaza pada tahun lalu.
“Pencapaian Hamas dalam konflik itu tidak setimpal dengan jumlah kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-mahu-negara-arab-pujuk-palestin-kembali-berunding-1.101334#sthash.DdwQP2HG.dpuf

Remaja Palestin mati ditembak askar rejim Zionis Israel


JENIN, Tebing Barat 10 Jun – Seorang remaja Palestin terbunuh ketika bertempur dengan askar Israel di Kem Pelarian Jenin, Tebing Barat, semalam.
Satu sumber memberitahu AFP, Ezzedine Ghora, 23, yang dipercayai anggota pergerakan Hamas mati akibat ditembusi dua butir peluru di lengan dan dadanya dalam serbuan oleh tentera Israel di kem itu.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Menurut kenyataan polis Israel, polis sempadan berada di kem pelarian Jenin untuk membuat serbuan.
“Ketika meninggalkan kem tersebut, tentera Israel mendapati seorang remaja Palestin cuba membaling bahan letupan ke arah mereka,” ujarnya.
Seorang anggota polis sempadan melepaskan tembakan ke arah remaja berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-palestin-mati-ditembak-askar-rejim-zionis-israel-1.101340#sthash.La09PMzy.dpuf