Seorang wanita Palestin meluahkan perasaannya ketika pekerja-pekerja menggunakan jentolak untuk membersihkan runtuhan bangunan di Kampung Khuzaa, timur Khan Yunis di selatan Gaza pada 1 Jun lalu, ekoran serangan tentera Israel ke atas Gaza pada musim pansa tahun lalu. AFP
BAITULMAQDIS 10 Jun – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berharap negara-negara Arab akan memujuk Palestin supaya kembali ke meja rundingan bagi memastikan pembentukan dua negara tercapai, sekali gus menamatkan konflik Palestin-Israel yang berlarutan lebih enam dekad itu.
Netanyahu ketika berucap pada satu majlis di Tel Aviv, meletakkan kesalahan kepada pihak Palestin ekoran kebuntuan rundingan damai selama 14 bulan, tetapi beliau percaya rundingan boleh disambung semula dengan bantuan negara-negara Arab.
“Rundingan mungkin dapat disambung semula kerana beberapa negara Arab bersetuju dengan pendapat saya dan diharap mereka dapat memujuk Palestin kembali ke meja bulat dengan situasi yang lebih positif,” katanya.
Rundingan damai yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) menemui jalan buntu sejak April tahun lalu ekoran perbezaan pendapat antara Palestin dan Israel berhubung isu penempatan haram Yahudi dan pembentukan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah, yang tidak mendapat restu rejim Zionis itu.
Baru-baru ini, wakil Perancis menyerahkan rangka kerja rundingan damai kepada Liga Arab sebagai persediaan mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan Israel dan Palestin kembali berbincang dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.
Dalam perkembangan lain, populariti pergerakan Hamas yang menguasai wilayah Palestin di Genting Gaza meningkat dalam kalangan penduduk Palestin sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada tahun lalu, walaupun ramai pihak berpendapat kemusnahan ekoran serangan itu melebihi pengaruh yang dicapaia pergerakan itu.
Berdasarkan tinjauan yang dijalankan Pusat Dasar dan Tinjauan Palestin, kira-kira 39 peratus penduduk Palestin menyokong Hamas, jika pilihan raya umum diadakan, meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding 32 peratus pada tahun lalu.
Tetapi tinjauan berkenaan juga mendapati, kira-kira 50 peratus penduduk di Gaza menimbangkan pilihan untuk berhijrah dari wilayah Palestin itu, yang mengalami krisis kemiskinan dan sekatan akibat penindasan Israel.
Pegawai yang terlibat dalam tinjauan tersebut, Khalil Shikaki berkata, kira-kira 63 peratus penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat berasa kecewa dengan penderitaan yang perlu mereka tanggung akibat serangan Israel ke atas Gaza pada tahun lalu.
“Pencapaian Hamas dalam konflik itu tidak setimpal dengan jumlah kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya. – REUTERS
No comments:
Post a Comment