Menurut laman web ibtimes.co.uk, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Briged Sheikh Omar Hadeed di Quds mendakwa, pihaknya bertanggungjawab melancarkan serangan roket pada 26 Mei lalu berhampiran Ashdod, Israel dan juga serangan kelmarin di bandar sama sebagai tindak balas kepada serangan udara di Gaza.
Kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan semalam memberi amaran, serangan terhadap Ashdod itu hanya satu permulaan dan lebih banyak bedilan akan dilancarkan.
“Apa yang akan berlaku mungkin lebih teruk,” jelas Briged Sheikh Omar.
Kemelut politik dilapor berlaku di Genting Gaza antara Hamas dengan beberapa kumpulan salafi termasuk Briged Sheikh Omar yang jelas menyokong IS.
Selasa lalu, anggota keselamatan Hamas didakwa membunuh seorang penyokong IS dalam satu kejadian tembak menembak di Gaza City selain memusnahkan sebuah masjid salafi di Khan Younis, tengah Gaza.
Kenyataan briged berkenaan semalam, bukan sahaja diarahkan kepada Israel, namun secara terus-terang menyatakan kemarahan terhadap Hamas yang dituduh menahan anggota salafi di seluruh Genting Gaza selain merampas senjata serta menyeksa mereka.
Israel sebelum ini menuduh Hamas melancarkan roket ke wilayahnya dalam kejadian 25 Mei lalu dan kelmarin.
Tindakan itu disusuli sera­ngan balas jet pejuang Israel ke tiga kem tentera milik Hamas di Gaza City dan berhampiran Khan Younis.
Gaza kini berada dalam fasa pemulihan selepas kemusnahan besar-besaran musim panas lalu apabila lebih 2,200 penduduk Palestin terkorban diserang Israel dalam tempoh 50 hari.