PBB dan Kementerian Perancangan Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin memaklumkan, sebahagian besar wang itu diperlukan bagi menyalurkan bantuan makanan kepada 1.6 juta orang atau satu pertiga daripada ke­seluruhan 4.75 juta penduduk di wilayah Palestin.
Rayuan terhadap bantuan kemanusiaan itu hadir berikutan gelombang serangan hampir setiap hari di Israel sejak Oktober tahun lalu yang mengorbankan 156 penduduk Palestin, 27 dari Israel, dan seorang warga Amerika Syarikat (AS).
Namun, bekas Duta AS, Phil Wilcox berpendapat, ledakan ke­ganasan dan krisis pelarian global mampu menjejaskan rayuan pembiayaan yang dibuat oleh PBB dan pihak berkuasa Palestin itu.
“Dana yang ada semakin berkurangan. Itu akan menjadi faktor penghalang walaupun tidak akan ada pengurangan dalam dana yang direka khusus untuk penduduk Palestin,” kata Wilcox dalam satu temu bual telefon.
Timbalan Setiausaha Agung PBB, Robert Piper ketika membuat rayuan kepada penderma turut menekankan tempoh 48 tahun pendudukan Israel di wilayah Palestin telah menyebabkan ramai penduduk Palestin sengsara.
“Selepas tempoh tekanan dan kejutan yang begitu panjang te­rutama kepada penduduk Gaza, keupayaan penduduk Palestin untuk bertahan bagi meneruskan kehidupan kini semakin sukar,” katanya.
Menurut PBB, sebanyak 92,000 orang masih menjadi pelarian di Genting Gaza akibat serangan Israel selama hampir 50 hari di kawasan itu dua tahun lalu.