Friday 12 February 2016

Palestin, PBB merayu bantuan RM2.4 bilion


SEORANG wanita berdiri berhampiran rumahnya yang telah dimusnahkan oleh Israel di sebuah kampung di Jeftlek, Tebing Barat kelmarin. - AGENSI


NEW YORK – Pihak berkuasa Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat satu kenyataan bersama kelmarin untuk memohon bantuan dana ketika ketegangan antara Palestin dan Israel memuncak sehingga mencetuskan keganasan yang mengorbankan kira-kira 200 orang sejak beberapa bulan lalu.
Rayuan dana pada tahun ini adalah bagi mengumpulkan AS$571 juta (RM2.4 bilion) untuk mengurangkan penderitaan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat daripada belenggu kemiskinan.
Sebahagian besar daripada dana tersebut akan digunakan untuk bantuan makanan kepada 1.6 juta orang atau sekitar satu pertiga rakyat Palestin, kata PBB dan Kementerian Perancangan Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin.
Jumlah penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel pada penghujung 2015 adalah seramai 4.75 juta orang, jelas seorang jurucakap PBB memetik perincian daripada Biro Statistik Palestin.
Rayuan itu menyusul selepas pertempuran sejak Oktober lalu telah meragut nyawa 156 penduduk Palestin, 27 warga Israel dan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS).
Antara punca pertumpahan darah termasuk kekecewaan penduduk Palestin terhadap rundingan damai yang telah lama terbengkalai dan pencerobohan orang Yahudi di pekarangan Majid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.
Kekurangan penderma bagaimanapun boleh menjejaskan kutipan dana tersebut susulan krisis pelarian global dengan 6.6 juta orang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka dan lebih 4.6 juta lagi menjadi pelarian akibat perang di Syria. – REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3zvJCkxq2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment