NANTERRE – Tiga hakim Perancis yang menyiasat dakwaan bahawa pemimpin Palestin, Yasser Arafat (gambar kecil) dibunuh telah menutup kes tersebut tanpa sebarang pendakwaan, kata seorang pendakwa raya kelmarin.
“Pada akhir siasatan, tiada bukti menunjukkan Yasser dibunuh dengan racun polonium-210,” demikian menurut penghakiman bertulis yang dikeluarkan di di Nanterre dekat Paris.
Yasser meninggal dunia di Hospital Tentera Percy dekat Paris ketika berusia 75 tahun pada 2004 selepas mengalami sakit perut di ibu pejabatnya di bandar Ramallah, Tebing Barat.
Balunya, Suha bertegas mendakwa beliau diracun menggunakan bahan radioaktif polonium.
“Bagaimanapun, tiga hakim berkenaan memutuskan tiada bukti mencukupi tentang perbuatan khianat pihak ketiga yang didakwa cuba membunuhnya,” kata seorang pendakwa raya itu.
Peguam Suha, Francis Szpiner turut menyiarkan keputusan tiga hakim itu di laman sosial Twitter.
Suha memfailkan kes pembunuhan itu pada 2012 di mahkamah Nanterre. Pada tahun sama, makam Arafat di Ramallah dibuka selama beberapa jam untuk membolehkan tiga pasukan penyiasat Perancis, Switzerland dan Rusia mengutip kira-kira 60 sampel.
Siasatan kes Yasser tamat pada April lepas dengan hasil siasatan diserahkan kepada pendakwa raya Nanterre yang mencadangkan pada Julai lalu supaya kes Suha digugurkan.
– AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3kiUQazpG
Hakcipta terpelihara