Monday 24 March 2014

AS bebas perisik untuk selamat rundingan damai


Baitulmaqdis: Amerika Syarikat mungkin membebaskan Jonathan Pollard yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup sebagai cara untuk menyelamatkan rundingan damai Israel dengan Palestin.

Memetik sumber diplomatik Barat, radio Israel melaporkan, pentadbiran Presiden Barack Obama tidak menolak kemungkinan membebaskan Pollard sebagai pertukaran kepada persetujuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk membebaskan tahanan Arab di Israel yang dituduh melakukan keganasan oleh rejim Zionis.

Pollard, bekas penganalisis Tentera Laut AS, ditangkap pada 1985 kerana memberi ribuan dokumen mengenai pengintipan Amerika Syarikat di dunia Arab kepada Israel.

Israel dijadual membebaskan kumpulan 26 tahanan Arab pada 29 atau 30 Mac di bawah persetujuan yang menyaksikan penyambungan semula rundingan damai dengan Palestin.

Rejim Zionis itu bersetuju membebaskan sejumlah 104 tahanan jangka panjang apabila rundingan dimulakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry pada Julai.

Setakat ini ia sudah membebaskan 78 orang yang semuanya dihukum penjara lebih 20 tahun.

Pihak Berkuasa Palestin menuntut supaya antara yang dibebaskan kali ini ialah rakyat Israel keturunan Arab atau warga Palestin yang memegang kad pengenalan Israel.

Kerajaan Netanyahu bagaimanapun menolak tuntutan itu.

Enggan tunduk ugutan Israel

Enggan tunduk ugutan Israel
 Projek penempatan haram Yahudi menjadi halangan utama dalam perjanjian damai antara Palestin dan Israel. 
24 Mac 2014
RAMALLAH - PALESTIN. Pemimpin Fatah, Mahmoud Abbas menegaskan tiada perjanjian boleh dicapai bersama Israel jika Palestin tidak diiktiraf sebagai sebuah negara merdeka.

Mahmoud berkata, mereka tidak akan tunduk dengan ugutan Israel walaupun tekanan semakin memuncak ketika ini.

"Kami juga menolak sebarang ancaman yang bertujuan untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin," tegasnya ketika mesyuarat tergempar bersama Jawatankuasa Pusat Fatah di Tebing Barat.

Menurutnya lagi, Tel Aviv perlu mengotakan janji mereka untuk membebaskan baki tahanan Palestin dalam tempoh sembilan bulan seperti yang dipersetujui tahun lalu.
Bagaimanapun, Israel sekali lagi berdolak-dalik dan enggan membebaskan kesemua tahanan terbabit melainkan Palestin bersetuju untuk menyambung semula rundingan damai selepas tarikh akhir April depan.  

"Jika Tel Aviv terus berdegil, kami akan mengambil tindakan mengikut norma perjanjian tersebut," katanya. 

Dalam perkembangan lain, laporan dipetik dari Press TV, pertempuran dilaporkan tercetus antara rejim Zionis dan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang mengadakan bantahan mengutuk pembunuhan tiga saudara mereka di Tebing Barat.

Pihak berkuasa turut melepaskan gas pemedih mata dan memberkas beberapa penunjuk perasaan di kota lama tersebut.

PM Israel pertahan serangan


PARA penyokong Hamas berhimpun bagi memperingati kematian para pemimpinnya akibat dibunuh tentera Israel di Bandar Gaza, Palestin semalam.


BAITULMUQADDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyatakan, satu serangan tentera negaranya di utara Tebing Barat kelmarin merupakan suatu tindakan yang wajar.
Menurutnya, serangan itu dilakukan ke atas para pejuang Palestin yang melaku- kan serangan terhadap askar-askar Isarel dan orang awam.
"Dasar kami adalah untuk memudaratkan sesiapa yang melakukan kemudaratan ke atas kami," katanya kepada Kabinet di sini.
Tiga pejuang Palestin termasuk seorang pejuang pergerakan Hamas terbunuh pada awal kelmarin dalam satu kejadian tembakan di kem pelarian Jenin.
Tentera Israel menyerbu kem tersebut untuk menangkap seorang pejuang Palestin, Hamza Abu Al-Haija.
Namun, Hamza enggan menyerah diri.
Dia kemudian melepaskan tembakan ke arah askar-askar Israel menyebabkan dua daripada mereka cedera.
Askar-askar Israel turut melepaskan tembakan menyebabkan Hamza terbunuh.
Hamza, 23, merupakan anak seorang ketua ketenteraan Hamas, Jamal Abu Aleija di Tebing Barat.
Jamal kini berada di sebuah penjara di Israel kerana menjalani hukuman penjara seumur hidup. - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2wp7IKe24 
Hakcipta terpelihara