Monday 24 March 2014

AS bebas perisik untuk selamat rundingan damai


Baitulmaqdis: Amerika Syarikat mungkin membebaskan Jonathan Pollard yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup sebagai cara untuk menyelamatkan rundingan damai Israel dengan Palestin.

Memetik sumber diplomatik Barat, radio Israel melaporkan, pentadbiran Presiden Barack Obama tidak menolak kemungkinan membebaskan Pollard sebagai pertukaran kepada persetujuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk membebaskan tahanan Arab di Israel yang dituduh melakukan keganasan oleh rejim Zionis.

Pollard, bekas penganalisis Tentera Laut AS, ditangkap pada 1985 kerana memberi ribuan dokumen mengenai pengintipan Amerika Syarikat di dunia Arab kepada Israel.

Israel dijadual membebaskan kumpulan 26 tahanan Arab pada 29 atau 30 Mac di bawah persetujuan yang menyaksikan penyambungan semula rundingan damai dengan Palestin.

Rejim Zionis itu bersetuju membebaskan sejumlah 104 tahanan jangka panjang apabila rundingan dimulakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry pada Julai.

Setakat ini ia sudah membebaskan 78 orang yang semuanya dihukum penjara lebih 20 tahun.

Pihak Berkuasa Palestin menuntut supaya antara yang dibebaskan kali ini ialah rakyat Israel keturunan Arab atau warga Palestin yang memegang kad pengenalan Israel.

Kerajaan Netanyahu bagaimanapun menolak tuntutan itu.

No comments:

Post a Comment