Friday 7 August 2015

120 tahanan Palestin nekad mogok lapar


Tindakan mogok lapar secara beramai-ramai itu dibuat selepas mereka dipindahkan ke penjara Nafha di gurun Negev yang terletak di selatan Israel.
Jurucakap Pusat Kajian Tahanan Palestin memberitahu kepada Press TV, kebanyakan daripada mereka adalah tahanan politik yang mempunyai hubungan dengan gerakan Fatah yang mentadbir Tebing Barat.
"Kesemua mereka dipindahkan dari Seksyen 10 ke Seksyen 41 pada minggu lalu tanpa dibenarkan membawa barang peribadi milik mereka," menurutnya.
Pada minggu lalu, tahanan di penjara Nafha, Ramon, Eshel dan Ofer melancarkan kempen bantahan terhadap tindakan biadab pihak berkuasa Israel yang menyerbu sel dan melakukan serangan fizikal ke atas mereka. 

Hamas mahu Israel hapus sekatan


AP - SEORANG wanita Palestin membaling gula-gula kepada pejuang bersenjata Hamas semasa majlis graduasi Belia Pembebasan Hamas di Bandar Gaza kelmarin.


BANDAR GAZA – Kumpulan Hamas kelmarin memberi amaran akan kembali melancarkan serangan melainkan Israel menarik balik sekatan ke atas Gaza.
Kata dua itu dikeluarkan pada ­majlis tamat latihan ketenteraan untuk 25,000 warga Gaza.
“Hari ini (kelmarin) mesej kami sangat jelas, kami tidak menerima sekatan (Israel),” ujar pemimpin kanan Hamas, Mahmud Zahar. Hamas yang memerintah Genting Gaza telah mengadakan rundingan tidak langsung dengan Israel berkaitan gencatan senjata jangka panjang sebagai balasan untuk menamatkan sekatan sembilan tahun itu.
“Hapuskan sekatan kerana kami tidak akan dapat menghalang pejuang Gaza yang ingin mempertahankan wilayah mereka daripada kumpulan yang telah memusnahkan kediaman dan membunuh anak-anak mereka (Israel),” ujarnya.
Sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam memberitahu, para peserta menghabiskan masa dua minggu untuk menjalani latihan ketenteraan dan menembak peluru hidup. Mereka juga belajar teknik menyelamat.
Hamas sebelum ini mengadakan kem musim panas yang menumpukan kepada aktiviti kesukanan dan pengajian al-Quran di Gaza tetapi sepanjang musim sejuk tahun lepas, ia mengadakan latihan ketenteraan kepada remaja berusia 15 hingga 20 tahun.
“Kami akan membesar dan mampu mempertahankan diri dan penduduk kami,” ujar seorang peserta, Moatassem, 15, yang menyertai kem itu supaya dapat mempertahankan Gaza.
Perang selama 50 hari yang bermula pada Julai hingga Ogos 2014 telah membunuh 2,200 warga Pa­lestin dan 73 penduduk Israel. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3i4yUNckG 
Hakcipta terpelihara 

PBB digesa lindungi penduduk Palestin


Sebahagian kanak-kanak Palestin memegang lilin serta gambar Ali
Sebahagian kanak-kanak Palestin memegang lilin serta gambar Ali Dawabsheh, kanak-kanak berusia 18 bulan yang meninggal dunia selepas rumahnya dibakar penduduk haram Yahudi di Tebing Barat minggu lalu. REUTERS
KAHERAH 6 Ogos – Menteri-menteri luar Liga Arab menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melindungi penduduk Palestin daripada jenayah keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram Israel, ketika pergerakan Hamas memberi amaran keganasan baharu akan berlaku selagi rejim Zionis tidak membatalkan sekatan terhadap Genting Gaza.
Gesaan daripada 15 menteri luar itu dinyatakan semalam susulan kematian seorang kanak-kanak Pa­lestin berusia 18 bulan yang dibakar hidup-hidup dalam tindakan dipercayai dilakukan oleh pelampau Yahudi, Jumaat lalu.
“Wakil negara Arab yang berada di PBB perlu bertindak dengan menghantar draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung jenayah yang dilakukan oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin.
“Kita perlu fikirkan tentang bagaimana untuk memberi perlindungan peringkat antarabangsa kepada penduduk terbabit kerana keputusan hanya boleh dibuat oleh UNSC,” kata Ketua Liga Arab, Nabil al-Araby.
Menteri-menteri Luar Liga Arab dalam kenyataan berkata, mereka sudah mencapai persetujuan untuk menghantar draf resolusi kepada UNSC.
Dalam perkembangan ini, Hamas memberi amaran lebih banyak ancaman baharu akan dilakukan ke atas Israel jika mereka berterusan mengenakan sekatan terhadap Gaza.
Seorang pemimpin pergerakan Hamas, Mahmud Zahar berkata, sekatan yang sudah berlanjutan selama sembilan tahun perlu ditamatkan segera.
“Mesej kami kepada peneroka haram amat jelas iaitu kami tidak boleh menerima sekatan yang dilakukan. Tamatkan sekatan kerana kami tidak lagi mampu menghalang penduduk Palestin yang berang jika mereka mahu mengambil tindakan terhadap pendatang haram yang membakar rumah dan membunuh anak-anak mereka,” ujarnya lagi.
– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pbb-digesa-lindungi-penduduk-palestin-1.121425#sthash.ZW4tehFz.dpuf

Tahanan Palestin di penjara Israel lancar mogok lapar


Seramai 120 tahanan di beberapa penjara Israel melancarkan mogok
Seramai 120 tahanan di beberapa penjara Israel melancarkan mogok lapar sebagai bantahan kepada layanan buruk yang mereka terima. AGENSI
RAMALLAH 6 Ogos – Kira-kira 120 tahanan Palestin di beberapa buah penjara di Israel melancarkan mogok lapar, hari ini, demikian menurut Pertubuhan Palestin bagi Hal Ehwal Banduan.
Agensi berita Xinhua melaporkan pertubuhan itu yang merupakan agensi di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada media berkata, semua tahanan itu melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap layanan buruk yang diterima.
“Tahanan meminta Israel menghentikan tindakan kejam seperti memecah masuk ke bilik tahanan mereka dan menjalankan pemeriksaan mengejut,” jelas kenyataan itu.
Tahanan juga meminta pihak penjara Israel menghentikan tindakan memindahkan mereka dari satu penjara ke penjara yang lain, selain memukul tahanan ketika membawa mereka keluar dari sel.
Sementara itu, Pengerusi pertubuhan itu, Eassa Qaraqe’e memberitahu Xinhua bahawa pihak penjara Israel, baru-baru ini bertindak memukul berpuluh-puluh tahanan Palestin di beberapa buah penjara, lokap dan kem tahanan.
“Tahanan memulakan mogok lapar hari ini berikutan keadaan di penjara yang semakin tegang apabila Israel mengetatkan langkah-langkah keselamatan yang menghalang keluarga melawat mereka setiap minggu,’’ ujarnya.
Berpuluh-puluh ahli keluarga tahanan dan wakil pelbagai organisasi, mengadakan demonstrasi di Gaza hari ini sehingga mendorong Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa Israel menghentikan tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
Jurucakap pergerakan Hamas di Gaza, Mo’een Shadid berkata, tahanan Palestin kini berdepan ‘layanan buruk’ di penjara-penjara Israel.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 7,000 banduan Palestin di beberapa penjara Israel dengan berpuluh-puluh daripada mereka telah ditahan lebih 20 tahun.
– BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tahanan-palestin-di-penjara-israel-lancar-mogok-lapar-1.121436#sthash.LxDPAiLu.dpuf