Sunday 23 February 2014

16 penduduk Palestin cedera ditembak tentera Israel



GAZA CITY 22 Feb. - Sebanyak 16 penduduk Palestin cedera akibat ditembak tentera Israel dalam dua kejadian berasingan di sempadan Genting Gaza, semalam.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mengalami cedera parah selepas ditembak di kepala dalam kejadian di Jabalia, dekat sini.
Ashraf berkata, sebanyak 13 penduduk Palestin cedera terkena tembakan tentera Israel yang membalas tindakan mereka melontar batu ke arah askar rejim Zionis Israel.
Dalam kejadian di timur Rafah, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera parah selepas ditembak tentera Israel.
"Seorang anggota keselamatan Hamas juga cedera selepas ditembak di kaki," katanya.
Menurut sumber keselamatan Palestin, beberapa orang kanak-kanak Palestin yang tinggal di kawasan itu sedang bermain ketika askar Israel melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.
Seorang jurucakap tentera Israel memberi alasan tembakan itu dilepaskan selepas pihaknya mengesan seorang suspek yang memiliki senjata menghampiri pagar keselamatan sempadan.
Jurucakap Israel itu turut mendakwa beratus-ratus penduduk Palestin melontar batu ke arah tentera Israel yang berkawal di sempadan dan cuba merosakkan pagar keselamatan.
"Askar (Israel) yang bertugas bertindak melepaskan tembakan selepas gagal meredakan tindakan penduduk Palestin itu," kata jurucakap itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140223/lu_05/16-penduduk-Palestin-cedera-ditembak-tentera-Israel#ixzz2u5xz8WJc
© Utusan Melayu (M) Bhd