Friday 28 August 2015

Palestin mahu bendera berkibar di PBB

JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 1:24 AM



Presiden Palestin, Mahmud Abbas
NEW YORK: Palestin, malam tadi meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengibarkan bendera mereka di badan dunia itu sebelum pertemuan ketua-ketua negara dunia berlangsung pada bulan depan.

Tindakan itu dibuat Palestin dalam usaha mengukuhkan percubaan mereka untuk diiktiraf sebagai negara walaupun dihalang Israel.

Deraf resolusi diserahkan pada Perhimpunan Agung meminta supaya bendera negara Palestin dan bendera Vatican dikibarkan bersama 193 bendera negara ahli lain. Vatican dan Palestin mempunyai status bukan ahli dengan status pemerhati dalam PBB.

Perhimpunan Agung menaikkan status Palestin negara pemerhati bukan ahli pada 2012.

Resolusi itu disokong 21 negara, termasuk Algeria, Arab Saudi, Mesir dan Jordan. Ia mungkin akan diundi sebelum 15 September ini.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu adalah antara pemimpin dunia yang akan menghadiri persidangan antikemiskinan dan debat tahunan Perhimpunan Agung pada 25 September ini.

Pope Francis dijangka menyampaikan ucapan pada hari berkenaan. Vatican secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara. - AFP

Pesawat Israel bedil tengah Gaza


Pesawat Israel bedil tengah Gaza

28 OGOS 2015
Pesawat Israel bedil tengah Gaza Pihak berkuasa Palestin memeriksa kesan kemusnahan susulan serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas selatan Genting Gaza pada 27 Mei lalu.

GENTING GAZA - GAZA . Rejim Zionis bertindak membedil wilayah Gaza kononnya sebagai respons terhadap roket yang dilancarkan ke selatan Israel.

Menurut saksi, serangan terbaharu itu menyasarkan kemudahan pembuatan senjata Hamas yang terletak di tengah Genting Gaza.

Bagaimanapun, tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan dalam kejadian itu.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel memaklumkan serangan udara itu dilancarkan beberapa jam selepas roket dibedil di kawasan lapang di Majlis Wilayah Eshkol.

Pada awal bulan lalu, satu serangan balas telah dilancarkan ke Genting Gaza dan turut mencederakan dua anggota Hamas. - Press TV