Dalam perintah yang berkuatkuasa selama enam bulan itu, polis Baitulmaqdis melarang Najah daripada ‘masuk, tinggal atau ditemukan’ di perkarangan masjid berkenaan dan di kawasan sekitarnya.
Menurut perintah yang ditandatangani oleh Timbalan Komander Daerah Baitulmaqdis, Avshalom Peled itu, langkah berkenaan ‘adalah perlu bagi mengelak kemudaratan serius kepada orang ramai dan hartanah di situ’.
Peled, bagaimanapun tidak menyatakan sebab khusus larangan berkenaan dikeluarkan.
Larangan kontroversi itu dibuat ketika Mufti Besar Baitul-maqdis, Sheikh Mohammed Hussein mengecam keputusan Israel untuk membina sebuah kawasan ibadat baharu penganut Yahudi di Tembok Ratapan.
Hussein berkata, kawasan itu merupakan ‘tanah waqaf Islam yang diambil semasa penjajahan Israel pada 1967’, lapor Jerusalem Post, semalam.
Kawasan ibadat baharu itu dibina berikutan satu keputusan oleh rejim zionis Israel untuk membenarkan buat pertama kali satu ruang bebas (egalitarian) di mana lelaki dan wanita boleh bersembahyang bersama-sama.
Tembok Ratapan terletak di bawah perkarangan Masjid al-Aqsa, sebuah kawasan yang dikenali penduduk Islam sebagai Haram al-Sharif, sebuah kawasan yang agak sensitif kepada penganut Islam dan Yahudi. – BERNAMA