BAITULMAQDIS 27 Sept. – Penduduk Palestin bertempur dengan pasukan keselamatan Israel di perkarangan Masjid al-Aqsa, di sini semalam.
Satu kenyataan polis Israel berkata, remaja Palestin yang memakai topeng melemparkan batu dan bunga api ke arah pasukan polis dan polis sempadan Israel, sebelum mengambil ‘pendekatan menyuraikan rusuhan’.
Koresponden AFP melaporkan, keadaan kembali tenang selepas tengah malam dan kebanyakan anggota polis sudah berundur.
Penduduk Palestin semakin bimbang dengan pertambahan penduduk Yahudi melawat Masjid al-Aqsa serta takut peraturan pentadbiran di kawasan Masjid al-Aqsa diubah.
Penduduk Yahudi dibenarkan melawat Masjid al-Aqsa tetapi mereka tidak dibenarkan melakukan upacara agama di situ.
Bagaimanapun, sejak beberapa minggu ini, beberapa percutian Yahudi menyaksikan pertambahan orang Yahudi melawat Masjid al-Aqsa dengan sokongan pasukan keselamatan Israel sehingga mencetuskan pertempuran.
Sayap radikal Pergerakan Islam di Israel dan Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Arab (HAMC) yang mewakili bangsa Arab di Israel menggesa penduduk Islam ke kawasan Masjid al-Aqsa bagi mempertahankannya.
Koresponden AFP menyaksikan kira-kira 150 orang berada di kawasan tersebut.
“Kami akan berada di sini selama sehari bagi menghalang penduduk Yahudi menyerang al-Aqsa,’’ kata seorang wanita Arab Israel yang dikenali sebagai Hala. – AFP