Sunday, 5 January 2014

Tiga maut feri karam di Lombok


LOMBOK, Indonesia 4 Jan. - Tiga orang terkorban dan berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan selepas feri yang mereka naiki karam awal pagi semalam, ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Kayangan di Lombok menuju ke Pelabuhan Poto Tano, West Nusa Tenggara.
Pengurus Operasi Feri Angkutan Sungai Danau dan Penyeberangan (ASDP) cawangan Kayangan, M. Yasin berkata, mereka yang terkorban adalah seorang lelaki pertengahan umur dan dua orang kanak-kanak.
Mayat mereka berjaya ditemui oleh Pasukan Mencari dan Menyelamata (SAR) Indonesia.
``Feri berkenaan berlepas kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia), namun kami hanya mengetahui ia karam pada pukul 4 pagi waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia),’’ kata M.Yasin kepada agensi berita Antara. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140104/lu_01/Tiga-maut-feri-karam-di-Lombok#ixzz2pW9BzI3x
© Utusan Melayu (M) Bhd 

AS cadang tempatkan tentera kawal sempadan Palestin


BAITULMAQDIS 4 Jan. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dilapor mengusulkan untuk menempatkan tentera AS bagi mengawal sempadan di Palestin bagi mengekang serangan ke atas Israel.
Agensi berita keselamatan dan perisikan Israel, Debkafile melaporkan, tentera AS akan ditempatkan di Lembah Jordan selepas Palestin menuntut tentera Israel berundur dari kawasan itu seperti yang diminta dalam rundingan damai kedua-dua pihak.
Agensi berkenaan melaporkan kehadiran tentera AS akan membantu menghalang kumpulan anti-Israel dari Lebanon dari memasuki wilayah Israel.
Pengarah Bersekutu Pusat Pengajian Keselamatan di Universiti Georgetown di Washington, David Maxwell berkata, rekod AS di Asia Barat tidak baik berdasarkan insiden serangan bom di kem tentera AS di Beirut pada 1983 yang mengorbankan 300 askar.
"Operasi keselamatan itu akan memerlukan jumlah anggota yang ramai bagi memastikan kawalan di sempadan benar-benar berkesan," katanya.
Sementara itu, Kerry mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bagi membincangkan rangka perjanjian damai antara Palestin dan Israel.
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Kerry mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan isu yang sama. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_05/AS-cadang-tempatkan-tentera-kawal-sempadan-Palestin#ixzz2pW8rSjZh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Si penyembelih Beirut' nazak


TEL AVIV - Keadaan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon semakin merosot, lapor media Israel yang memetik kenyataan ketua sebuah hospital kelmarin.
Ketua Hospital Tel Hashomer Sheba, Zeev Rotstein berkata, Sharon, 85, yang koma selama lapan tahun kini semakin tenat.
Ditanya sama ada Sharon di ambang maut, Rotstein dipetik sebagai memberitahu: "Secara peribadi saya bersetuju dengan pendapat tersebut."
Pihak hospital berkenaan menyatakan pada Khamis lalu bahawa Sharon berada dalam keadaan kritikal selepas ginjalnya dan beberapa organ lain semakin tidak berfungsi.
Pemimpin Yahudi yang digelar sebagai 'Penyembelih Beirut' itu berada dalam keadaan koma selepas diserang strok dan pendarahan otak pada 4 Januari 2006 semasa berkempen untuk partinya menjelang pilihan raya umum di Israel.
Beliau yang merupakan seorang bekas jeneral menjadi Perdana Menteri Israel dari tahun 2001 hingga 2006.
Sharon yang terkenal kerana kekejamannya dikutuk oleh masyarakat antarabangsa berhubung pembunuhan beramai-ramai orang Islam di Beirut, Lebanon.
Pada tahun 1982, Sharon yang menjadi Menteri Pertahanan Israel ketika itu mengarahkan beberapa kumpulan militia Kristian Lebanon untuk membunuh pelarian Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut.
Menurut beberapa sumber Palestin, antara 3,000 hingga 3,500 orang termasuk wanita mengandung, bayi dan kanak-kanak dibunuh kejam dalam pembunuhan beramai-ramai tersebut yang berlaku selama tiga hari.
Beribu-ribu pelarian turut diseksa dan dirogol dalam kekejaman tersebut yang berlaku selama tiga hari pada 16 September 1986. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2pU6YMLU0 
Hakcipta terpelihara