Sunday, 5 January 2014

AS cadang tempatkan tentera kawal sempadan Palestin


BAITULMAQDIS 4 Jan. - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry dilapor mengusulkan untuk menempatkan tentera AS bagi mengawal sempadan di Palestin bagi mengekang serangan ke atas Israel.
Agensi berita keselamatan dan perisikan Israel, Debkafile melaporkan, tentera AS akan ditempatkan di Lembah Jordan selepas Palestin menuntut tentera Israel berundur dari kawasan itu seperti yang diminta dalam rundingan damai kedua-dua pihak.
Agensi berkenaan melaporkan kehadiran tentera AS akan membantu menghalang kumpulan anti-Israel dari Lebanon dari memasuki wilayah Israel.
Pengarah Bersekutu Pusat Pengajian Keselamatan di Universiti Georgetown di Washington, David Maxwell berkata, rekod AS di Asia Barat tidak baik berdasarkan insiden serangan bom di kem tentera AS di Beirut pada 1983 yang mengorbankan 300 askar.
"Operasi keselamatan itu akan memerlukan jumlah anggota yang ramai bagi memastikan kawalan di sempadan benar-benar berkesan," katanya.
Sementara itu, Kerry mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bagi membincangkan rangka perjanjian damai antara Palestin dan Israel.
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Kerry mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan isu yang sama. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_05/AS-cadang-tempatkan-tentera-kawal-sempadan-Palestin#ixzz2pW8rSjZh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment