Tuesday 4 February 2014

Israel tolak amaran AS

Israel tolak amaran AS
Israel kini menghadapi kempen boikot meluas Kesatuan Eropah dan AS.

4 Februari 2014
TEL AVIV - Israel tidak mengendahkan ancaman Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan boikot sekiranya rundingan antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin gagal.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam tindakan Setiausaha Negara AS, John Kerry dan menggelarnya sebagai tindakan tidak bermoral.

“Tindakan itu tidak adil kerana sepanjang rundingan itu kami tidak memberi tekanan terhadap AS mahupun menghalau Setiausaha itu keluar dari negara ini,” katanya dipetik Press TV

Menurutnya, AS cuba memperdaya dan mengugut Israel berlandaskan resolusi yang bakal dicapai menerusi rundingan itu nanti.

Terdahulu, Kerry  memberi amaran meningkatkan kempen boikot terhadap Israel ketika berucap di Persidangan Keselamatan ke-50 di Munich, Jerman.

Difahamkan, Israel kini menghadapi kempen boikot meluas oleh Kesatuan Eropah apabila menyekat semua geran dan pembiayaan kepada mana-mana entiti Israel.

Persatuan Pengajian AS turut memboikot institusi pengajian Israel kerana negara itu melakukan diskriminasi terhadap ahli akademik dari Palestin.

Israel tawar RM66 juta kepada mangsa komando


Baitulmaqdis: Israel menawarkan AS$20 juta (RM66 juta) kepada Turki sebagai pampasan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam serbuan ganas tentera rejim Zionis itu ke atas flotila bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 2010, lapor akhbar Haaretz semalam.

Memetik ringkasan daripada beberapa diplomat Barat yang tidak didedahkan identitinya, rundingan mengenai isu itu diadakan di Ankara.


Bagaimanapun, kata sumber, kerajaan Turki belum memberi kata putus mengenai tawaran itu. Hubungan baik kedua-dua negara itu retak selepas komando Israel menyerbu dan membunuh sembilan warga Turki ketika rombongan membawa bekalan kemanusiaan itu memasuki perairan Gaza pada Mei 2010. Serangan itu mencetuskan krisis diplomatik terbesar antara dua bekas sekutu itu, dengan Ankara menuntut permohonan maaf secara rasmi dan bayaran pampasan untuk keluarga mangsa.



Rundingan akhirnya dimulakan pada Mac tahun lalu selepas Israel melanjutkan permohonan maaf secara rasmi kepada Turki bagi memulihkan hubungan kedua-dua negara itu berikutan campur tangan oleh Presiden AS, Barack Obama.


Rundingan terhenti selama beberapa bulan tetapi disambung semula pada Disember lalu apabila delegasi Israel berkunjung ke Istanbul. Diplomat Barat yang dipetik dalam akhbar itu berkata, Ankara menuntut bayaran $30 juta (RM100 juta), tetapi Israel pada awalnya hanya mampu menjanjikan AS$15 juta (RM50 juta).


Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kemudian memutuskan untuk menaikkan tawaran Israel kepada RM66 juta dengan tambahan $3 juta (RM10 juta) jika persetujuan di capai. “Pampasan itu tidak akan dibayar secara langsung kepada keluarga mangsa tetapi akan dimasukkan ke tabung kemanusiaan dan diagih kepada mereka mengikut kriteria ditetapkan,” menurut sumber. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

Israel halang azan di Masjid al-Ibrahimi


Masjid al-Ibrahimi mencetuskan kontroversi apabila pihak berkuasa Israel menghalang azan dilaungkan di masjid itu. - AGENSI
RAMALLAH 3 Feb. - Pihak berkuasa Israel dilaporkan menghalang Masjid al-Ibrahimi di Hebron melaungkan azan sebanyak 49 kali pada bulan ini atas alasan laungan azan mengganggu penduduk Israel dan menyebabkan kawasan itu menjadi bising.
Pengarah Jabatan Wakaf di Hebron, Tayseer Abu Snaineh berkata, pihak berkuasa Israel menghalang masjid berkenaan melaungkan azan ketika masuk waktu solat, tindakan yang dilihat memihak kepada penduduk Yahudi yang melawat bandar lama Hebron.
Tayseer berkata, tentera Israel yang berkawal di pintu masuk masjid berkenaan turut mengadakan pemeriksaan keselamatan ke atas penduduk Palestin sebelum mereka dibenarkan memasuki masjid itu, namun, penduduk Yahudi dibenarkan memasuki masjid tersebut sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh.
"Penduduk Yahudi juga mencemari kawasan masjid itu dan sering memalukan dan mengejek orang Islam yang sedang solat," katanya.
Beliau berkata, tindakan tentera Israel itu merupakan ancaman besar terhadap agama Islam dan mereka dilihat cuba menyekat kebebasan beragama di negara ini yang bertentangan dengan undang-undang Israel.
Masjid al-Ibrahimi yang berusia 1,000 tahun itu merupakan kawasan suci bagi penduduk Islam Palestin selepas Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis yang menempatkan makam Nabi Ibrahim serta ahli keluarga baginda.
Jawatankuasa khas kerajaan Israel telah membahagikan masjid itu kepada dua bahagian, satu bahagian untuk orang Islam dan satu bahagian lagi untuk penganut Yahudi, selepas tragedi 1994 apabila seorang penganut Yahudi menembak mati 29 orang Islam serta mencederakan 125 yang lain ketika penduduk Islam sedang menunaikan solat Subuh.
Isu berhubung laungan azan di masjid telah berlarutan sejak 2011 apabila seorang ahli politik Israel, Anastasia Michaeli mengusulkan satu rang undang-undang bagi mengharamkan azan di masjid-masjid dalam kawasan Israel menggunakan pembesar suara kerana didakwa mengganggu waktu tidur penduduk Israel.
Namun, usul itu ditentang hebat oleh aktivis Islam yang mencadangkan penduduk Israel supaya keluar dari kawasan berkenaan sekiranya tidak tahan mendengar laungan azan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140204/lu_04/Israel-halang-azan-di-Masjid-al-Ibrahimi#ixzz2sKcT8Fsd
© Utusan Melayu (M) Bhd