Tuesday 4 February 2014

Israel tawar RM66 juta kepada mangsa komando


Baitulmaqdis: Israel menawarkan AS$20 juta (RM66 juta) kepada Turki sebagai pampasan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam serbuan ganas tentera rejim Zionis itu ke atas flotila bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 2010, lapor akhbar Haaretz semalam.

Memetik ringkasan daripada beberapa diplomat Barat yang tidak didedahkan identitinya, rundingan mengenai isu itu diadakan di Ankara.


Bagaimanapun, kata sumber, kerajaan Turki belum memberi kata putus mengenai tawaran itu. Hubungan baik kedua-dua negara itu retak selepas komando Israel menyerbu dan membunuh sembilan warga Turki ketika rombongan membawa bekalan kemanusiaan itu memasuki perairan Gaza pada Mei 2010. Serangan itu mencetuskan krisis diplomatik terbesar antara dua bekas sekutu itu, dengan Ankara menuntut permohonan maaf secara rasmi dan bayaran pampasan untuk keluarga mangsa.



Rundingan akhirnya dimulakan pada Mac tahun lalu selepas Israel melanjutkan permohonan maaf secara rasmi kepada Turki bagi memulihkan hubungan kedua-dua negara itu berikutan campur tangan oleh Presiden AS, Barack Obama.


Rundingan terhenti selama beberapa bulan tetapi disambung semula pada Disember lalu apabila delegasi Israel berkunjung ke Istanbul. Diplomat Barat yang dipetik dalam akhbar itu berkata, Ankara menuntut bayaran $30 juta (RM100 juta), tetapi Israel pada awalnya hanya mampu menjanjikan AS$15 juta (RM50 juta).


Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kemudian memutuskan untuk menaikkan tawaran Israel kepada RM66 juta dengan tambahan $3 juta (RM10 juta) jika persetujuan di capai. “Pampasan itu tidak akan dibayar secara langsung kepada keluarga mangsa tetapi akan dimasukkan ke tabung kemanusiaan dan diagih kepada mereka mengikut kriteria ditetapkan,” menurut sumber. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/04

No comments:

Post a Comment