Tuesday 4 February 2014

Israel halang azan di Masjid al-Ibrahimi


Masjid al-Ibrahimi mencetuskan kontroversi apabila pihak berkuasa Israel menghalang azan dilaungkan di masjid itu. - AGENSI
RAMALLAH 3 Feb. - Pihak berkuasa Israel dilaporkan menghalang Masjid al-Ibrahimi di Hebron melaungkan azan sebanyak 49 kali pada bulan ini atas alasan laungan azan mengganggu penduduk Israel dan menyebabkan kawasan itu menjadi bising.
Pengarah Jabatan Wakaf di Hebron, Tayseer Abu Snaineh berkata, pihak berkuasa Israel menghalang masjid berkenaan melaungkan azan ketika masuk waktu solat, tindakan yang dilihat memihak kepada penduduk Yahudi yang melawat bandar lama Hebron.
Tayseer berkata, tentera Israel yang berkawal di pintu masuk masjid berkenaan turut mengadakan pemeriksaan keselamatan ke atas penduduk Palestin sebelum mereka dibenarkan memasuki masjid itu, namun, penduduk Yahudi dibenarkan memasuki masjid tersebut sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh.
"Penduduk Yahudi juga mencemari kawasan masjid itu dan sering memalukan dan mengejek orang Islam yang sedang solat," katanya.
Beliau berkata, tindakan tentera Israel itu merupakan ancaman besar terhadap agama Islam dan mereka dilihat cuba menyekat kebebasan beragama di negara ini yang bertentangan dengan undang-undang Israel.
Masjid al-Ibrahimi yang berusia 1,000 tahun itu merupakan kawasan suci bagi penduduk Islam Palestin selepas Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis yang menempatkan makam Nabi Ibrahim serta ahli keluarga baginda.
Jawatankuasa khas kerajaan Israel telah membahagikan masjid itu kepada dua bahagian, satu bahagian untuk orang Islam dan satu bahagian lagi untuk penganut Yahudi, selepas tragedi 1994 apabila seorang penganut Yahudi menembak mati 29 orang Islam serta mencederakan 125 yang lain ketika penduduk Islam sedang menunaikan solat Subuh.
Isu berhubung laungan azan di masjid telah berlarutan sejak 2011 apabila seorang ahli politik Israel, Anastasia Michaeli mengusulkan satu rang undang-undang bagi mengharamkan azan di masjid-masjid dalam kawasan Israel menggunakan pembesar suara kerana didakwa mengganggu waktu tidur penduduk Israel.
Namun, usul itu ditentang hebat oleh aktivis Islam yang mencadangkan penduduk Israel supaya keluar dari kawasan berkenaan sekiranya tidak tahan mendengar laungan azan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140204/lu_04/Israel-halang-azan-di-Masjid-al-Ibrahimi#ixzz2sKcT8Fsd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment