Dalam kenyataan yang disiarkan semalam, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas, Iyad al-Bozum berkata, kira-kira 20,000 rakyat Palestin di Gaza berdepan krisis kemanusiaan dan nasib mereka bergantung kepada pembukaan sempadan Mesir-Gaza itu.
Bozum turut memberi amaran, tindakan pihak berkuasa Mesir menutup sempadan itu secara berte­rusan akan mengancam nyawa beribu-ribu penduduk Palestin yang memerlukan pembedahan segera akibat komplikasi jantung atau kanser.
“Kerajaan Mesir harus sedar tentang masalah kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan perlu membuka sempadan dengan segera bagi menyelamatkan nyawa penduduk Palestin,” katanya se­perti dilaporkan portal Press TV.
Kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza berdepan krisis kemanusiaan yang teruk sejak 2007 ekoran tindakan rejim Zionis mengenakan sekatan darat, udara dan laut, menyebabkan mereka kekurangan barangan asas seperti makanan, perubatan dan minyak.
Sempadan Rafah ditutup oleh kerajaan Mesir sejak Presiden Abdel Fattah al-Sisi menggulingkan Presiden Mohammed Mursi pada Julai 2013.
Kaherah memberi alasan ke­selamatan sebagai faktor sempadan tersebut ditutup yang merupakan satu-satunya laluan keluar-masuk penduduk Gaza bagi mengelakkan sekatan Israel.
Jun lalu, kerajaan Mesir hanya membuka laluan sempadan Rafah selama empat hari sempena sam­butan bulan Ramadan.
Kerajaan pimpinan Abdel Fattah menuduh Hamas membantu kumpulan militan melakukan keganasan di negara itu tetapi Hamas menafikan sebarang penglibatan dalam operasi militan di Mesir.
“Hamas dan penduduk Gaza tidak ada terlibat dengan keganasan di Mesir,” kata Iyad dalam ke­nyataannya pada Oktober lalu.