Thursday 19 June 2014

Sehingga kini, seramai 197 rakyat Palestin diculik dan ditahan

Berita | Sehingga kini, seramai 197 rakyat Palestin diculik dan ditahan, 791 buah rumah diserbu dalam operasi terkini zionis di Tebing Barat. [Ph]

Sumber: Harry Fear & Ahrar Centre for Prisoners.
Gambar: Pencerobohan di Al-Khalil pada Isnin lepas. [REUTERS]

#aqsasyarif #ramadhan
 

51 ditahan semula


Baitulmaqdis: Tentera Israel semalam menahan semula 51 bekas tahanan Palestin dalam usaha menjejaki tiga remaja Yahudi yang didakwa diculik di Tebing Barat.

Israel yang percaya Hamas bertanggungjawab menculik remaja berkenaan ketika mereka dalam perjalanan pulang dari satu upacara keagamaan, meningkatkan tekanan terhadap kumpulan itu.

Semua 51 tahanan yang ditahan semula itu adalah sebahagian daripada 1,027 rakyat Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel pada 2011 sebagai pertukaran untuk pembebasan anggota tentera Zionis, Gilad Schalit yang ditawan Hamas pada 2006.

Menurut jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner, 52 tahanan itu ditahan bersama 14 lagi rakyat Palestin lain, menjadikan jumlah yang ditahan sejak remaja itu hilang mencecah 240 orang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, penahanan itu memberi ‘mesej penting’ kepada Hamas dan tentera rejim itu akan meneruskan operasi sehingga ketiga-tiga remaja terbabit dibebaskan.

Dia juga menggunakan kesempatan itu untuk mengecam kerajaan perpaduan Palestin yang baru ditubuhkan dan menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Presiden Mahmoud Abbas membubarkan kerajaan berkenan.

Sehingga kini Israel tidak dapat membuktikan pembabitan Hamas dengan kehilangan remaja Yahudi berkenaan tetapi seorang menteri rejim itu, Gilad Erdan berkata, pihaknya tahu kumpulan Hamas yang bertanggungjawab.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.

Sejak kehilangan ketiga-tiga remaja itu, tentera Israel sudah melakukan pencarian di 800 lokasi di Tebing Barat dan menjalankan operasi ke atas 10 institusi awam Hamas, termasuk menyerbu stesen radio milik pergerakan itu.



“Tindakan ini memberi tamparan hebat kepada infrastruktur, operasi dan institusi Hamas itu sendiri,” kata Lerner.

Setakat ini masih belum ada sebarang tanda menunjukkan remaja yang hilang itu masih hidup.

Tuntutan tebusan atau tuntutan lain daripada penculik juga tidak diterima.

Lerner berkata, tentera Israel akan terus mengadakan sekatan di wilayah Hebron bagi mengelakkan penculik membawa mangsa keluar dari Tebing Barat.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/19