Jurucakap Jabatan Negara AS, Jeffrey Rathke dalam kenyataannya berkata, permintaan Palestin itu memberi kesan buruk terhadap proses rundingan damai dengan rejim Zionis selain memusnahkan harapan rakyat negara itu untuk mengecapi keamanan.
Jelasnya, AS menyokong usaha Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka, tetapi sekutu kuat Washington, Israel menegaskan mereka tidak akan mengambil tindakan sehala sebelum mencapai perjanjian damai dengan Palestin.
“Washington benar-benar kecewa dengan tindakan Palestin memohon menjadi anggota ICC.
“Pendirian AS juga tidak berubah dan menentang sekeras-kerasnya tindakan itu yang menghakis kepercayaan dan mewujudkan keraguan tentang komitmen mereka untuk berunding,” kata beliau seperti yang dilaporkan portal berita Al Arabiya.
Semalam, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengemukakan permohonan bagi pihak kerajaan pimpinan beliau untuk menjadi anggota 20 konvensyen antarabangsa termasuk ICC sebagai langkah mencapai sebuah negara berdaulat.
Selain itu, langkah Palestin turut membuka laluan untuk ICC menyemak kes jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis di Tebing Barat dan Genting Gaza sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Tindakan tersebut diambil hanya sehari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menolak satu resolusi untuk menggesa Israel menamatkan penjajahan di wilayah Palestin.
Mahmoud sebelum ini memberi amaran, beliau akan meneruskan kempen bagi Palestin menyertai pertubuhan antarabangsa sekiranya resolusi itu ditolak, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Israel.