Thursday 21 August 2014

Serangan Israel: 4 Maut Ketika Hadiri Pengebumian


Diterbitkan: Khamis, 21 Ogos 2014 6:19 PM
Rakyat Palestin melihat kepulan asap akibat serangan pesawat tempur Israel di majlis pengebumian di Bandar Gaza. Foto EPA

BANDAR GAZA, (Wilayah Palestin): Empat rakyat Palestin maut ketika menghadiri majlis pengebumian apabila sebuah pesawat tempur Israel melakukan serangan ke atas kawasan perkuburan di Bandar Gaza pada Khamis, kata pegawai perubatan.
Serangan itu berlaku di kawasan tanah perkuburan di Sheikh Radwan di utara Bandar Gaza, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra. - AFP

palestin

Hamas beri amaran syarikat penerbangan jangan memasuki Tel Aviv

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 11:14 AM

 
GAZA CITY: Hamas hari ini memberi amaran kepada syarikat penerbangan asing agar mengelak daripada memasuki Tel Aviv berkuat kuasa serta-merta susulan rundingan Palestin-Israel gagal mencapai sebarang persetujuan.

Amaran itu dibuat selepas jet pejuang Israel terus melancarkan serangan udara sejak semalam sebagai tindak balas terhadap serangan roket Hamas di selatan Israel.

Serangan tercetus kembali selepas beberapa siri gencatan senjata berlarutan selama sembilan hari tamat semalam.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak agar Palestin dan Israel kembali di meja rundingan segera bagi meredakan pertikaian di Gaza.

Bagaimanapun, jurucakap Hamas bagi sayap tenteranya, Abu Obeida, berkata kumpulan itu memutuskan untuk meninggalkan rundingan gencatan senjata dengan Israel.

"Kami minta delegasi Palestin segera meninggalkan Kaherah dan jangan kembali lagi," kata Abu Obeida dalam siaran televisyen saluran tv Hamas, Al-Aqsa TV.

"Kami memberi amaran kepada penerbangan asing agar menghentikan penerbangan ke Lapangan Ben Gurion mulai 6 pagi (0300 GMT)," katanya yang berpakaian tentera dengan mukanya ditutup dengan lilitan kain merah putih.

Bulan lalu, banyak syarikat penerbangan antarabangsa menangguhkan sementara penerbangan ke o Tel Aviv selepas roket Hamas disasarkan berdekatan lapangan terbang. - AP

PBB gesa Israel, Palestin kembali ke meja rundingan

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 11:23 AM
PENDUDUK Gaza mengusung jenazah isteri Mohammed Al Deif, pejuang Palestin yang paling dikehendaki oleh Israel di Kem Pelarian Jabaliya, Semenanjung Gaza semalam.
 
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel dan Palestin supaya kembali ke meja rundingan bagi mempersetujui dengan segera berhubung perdamaian kekal di Gaza.

Dalam kenyataan yang diluluskan sebulat suara, majlis 15-anggota itu memberi sepenuh sokongan kepada inisiatif Mesir itu dan menggesa semua pihak agar meneruskan rundingan bagi mencapai gencatan senjata berkekalan.

Kenyataan yang disediakan oleh Perancis itu dipersetujui selepas rundingan di Kaherah hampir gagal berikutan keganasan semula di Gaza yang sudah mengorbankan lebih 2,000 rakyat Palestin sejak 8 Julai lalu.

Awal bulan ini, Jordan menyebarkan draf resolusi yang disokong oleh negara Arab yang menggesa supaya diadakan gencatan senjata, pembukaan semula sekatan di Gaza dan penghantaran segera bantuan yang diperlukan oleh rakyat Palestin.

Pertempuran selama enam minggu itu adalah antara paling ganas antara Israel dan Hamas sejak intifada Palestin kedua dari 2000 hingga 2005. - AFP

Hamas umum tiga komander kanannya terkorban dalam serangan Israel

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 3:18 PM

Rakyat Palestin memeriksa rumah yang musnah dalam serangan udara Israel di utara Gaza hari ini.
 
GAZA: Serangan udara Israel mengorbankan tiga komander kanan Hamas di Semenanjung Gaza, kata pergerakan itu hari ini.

Hamas berkata mereka yang terbunuh terdiri daripada Mohammed Abu Shammala, Raed al-Attar and Mohammed Barhoum. Mereka terbunuh dalam pengeboman sebuah rumah di Rafah.

Jurucakap tentera berkata pesawat rejim Israel melakukan 20 serangan di Gaza hari ini tetapi tidak memberi maklumat lanjut.

Kelmarin Israel menyasarkan komander tertinggi Hamas, Mohammed Deif tetapi gagal membunuhnya. Bagaimanapun isterinya serta anak lelaki berusia tujuh bulan terkorban dalam serangan udara itu, kata Hamas.

Rundingan anjuran Mesir bagi menamatkan pertempuran maut antara Israel dan Hamas serta kumpulan lain di Gaza tidak mencapai matlamatnya apabila keganasan tercetus semula selepas gencatan senjata selama 10 hari.

Angka kematian terbaharu yang dikeluarkan oleh pihak Palestin adalah 2,050 mangsa korban, sebahagian besarnya orang awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kira-kira 425,000 orang hilang tempat tinggal dalam peperangan itu. - Reuters

Gaza: Israel terus serang 2,049 gugur syahid


HARAKAHDAILY | .

GAZA: Tamat sahaja genjatan senjata yang dilanjutkan lima hari sehingga Selasa lalu, Israel melanjutkan semula serangan ke atas Gaza.

Bom-bom dan roket Israel meledak di kota Gaza bermula Selasa malam yang menyaksikan jumlah korban terus meningkat.

Serangan yang dimulakan pada 7 Julai lalu masuk hari ke-47 semalam menyaksikan angka korban syahid mencecah 2,049 dan 10,224 lagi cereda.

Tepat jam 1 pagi pada Rabu, pesawat-pesawat tempur Zionis menggempur wilayah utara Rafah. Beberapa warga Gaza cedera selepas kediaman mereka dibom di Timur Khan Younis.

Hamas mendakwa, serangan terbaru ini menunjukkan betapa Israel nekad untuk membunuh warga Gaza sehingga mengenepikan rundingan genjatan senjata yang sedang diusahakan kedua-dua pihak di Mesir.

Israel sebelum ini memanggil balik wakil perunding mereka di Mesir dengan menyalahkan Hamas.

Hamas bagaimanapun menyifatkan alasan Israel itu hanya sandiwara semata-mata untuk terus menyerang Gaza.

- HARAKAHDAILY 21/8/2014

AS senarai hitam pejuang Palestin


21 Ogos 2014

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) menyenarai hitamkan kumpulan pejuang Palestin yang berpangkalan di Gaza sebagai 'pengganas'.

Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan menuduh Majlis Syura Mujahidin di Baitulmaqdis bertanggungjawab dalam beberapa siri serangan roket ke atas Israel dan serangan di sempadan hingga puluhan orang awam terkorban.

"Kumpulan terbabit terdiri merupakan sayap rangkaian yang menyokong Kumpulan ISIL," menurut kenyataan itu, dipetik oleh Al Arabiya.

Bagaimanapun pemerhati politik berpendapat, kenyataan itu satu tuduhan tidak berasas kerana tiada bukti menunjukkan kumpulan pejuang Palestin terbabit dengan ISIL.

"Tindakan AS melarang rakyatnya daripada melibatkan diri dalam urus niaga dan memerintahkan pembekuan aset kumpulan terbabit mungkin mempunyai kaitan dengan AS," katanya.

Gaza kembali berdarah

Lebih 20 penduduk Palestin maut dalam serangan udara semalam. Foto: AFP
Lebih 20 penduduk Palestin maut dalam serangan udara semalam. Foto: AFP
GAZA - PALESTIN. Serangan udara di Deir el-Balah membunuh seorang wanita hamil, tiga kanak-kanak dan dua saudara lelakinya semalam.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata, mangsa dikenali sebagai Rafat Aloah, 32, tiga anak-anaknya dan saudaranya, Muhammad.

Sejurus gencatan senjata tamat awal pagi kelmarin, Israel melancarkan serangan udara pertama menyebabkan ribuan penduduk  Palestin melarikan diri dari rumah masing-masing dengan membawa beg pakaian, bantal dan tilam di Shejaiya, timur Gaza.

Ribuan penduduk di Zeitun dan Shaaf juga berbuat perkara sama dengan menuju ke sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendapatkan perlindungan.

Mereka dilihat berjalan kaki dan ada juga yang berasak-asak di dalam kenderaan termasuk kereta keldai.

Um Mohammed Bakrun, yang berjalan dengan adik perempuan dan  empat anak berkata, selepas terdengar bunyi letupan, dia mengambil keputusan untuk membawa ahli keluarganya pulang semula ke sekolah UNRWA.

"Dua minggu lalu kami berlindung di sekolah itu dan kini kami kembali semula untuk berlindung," katanya dipetik Agensi.

PBB dalam satu kenyataan berkata, lebih 237,600 rakyat Palestin kini berada di 81 sekolahnya di sekitar Gaza.

Sementara itu, Mesir menggesa Israel dan Palestin meneruskan rundingan dan kesal di atas perlanggaran gencatan senjata di Gaza.

Serangan di Genting Gaza tengah malam kelmarin tercetus selepas roket Palestin menyerang balas serangan udara dilancarkan Israel.

Kementerian Luar Mesir menyatakan Kaherah masih berusaha untuk mendesak mereka menghormati gencatan senjata.

Menurut Sumber Sinar Harian, setakat jam 9 malam semalam, seramai 21 penduduk dilaporkan maut.

NGO bidas sindiket tipu duit derma


  • Telaga Tiub yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Yayasan Amal Malaysia.Telaga Tiub yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Yayasan Amal Malaysia.

KUANTAN - Tindakan pihak yang menyalahgunakan nama tabung Palestin untuk menipu penderma memberi tempias kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah dalam membuat kutipan.

Menyedari situasi tersebut, empat NGO di Pahang semalam tampil memaklumkan kepada orang ramai bagi mengelakkan salah faham.

Haluan Palestin Pahang, Aqsa Sharif Berhad, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Yayasan Amal Pahang tampil diwakili pemimpin negeri masing-masing dengan tegas menyatakan mereka aktif di seluruh negara dan sudah lama membuat kutipan membantu mangsa bencana terutamanya untuk rakyat Palestin.

Pemimpin terbabit terkilan kerana nama pertubuhan yang diwakili mereka turut tercalar berikutan sikap individu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

Mereka turut mencadangkan kerajaan mengambil tindakan tegas jika ada individu yang berani mempergunakan simpati masyarakat untuk kesenangan sendiri.
Kesemua pertubuhan itu memaklumkan tidak pernah melantik sesiapa mengutip derma secara individu, sebaliknya mengadakan program tertentu dalam bentuk kumpulan dan membabitkan orang awam.

Haluan terima tempias

Ketua Biro Haluan Palestin Pahang, Abd Bashir Abd Ghani berkata, kesan daripada satu pertubuhan yang dipercayai cuba menipu penderma, Haluan turut menerima tempias walaupun pertubuhan itu tidak pernah mengutip derma secara individu di premis tertentu.

Menurutnya, oleh kerana Palestin kini menjadi isu besar, ramai yang mahu membantu dan penderma tidak berkira untuk memasukkan wang ke dalam tabung yang didakwa ‘sampai’ kepada mangsa perang itu.

“Haluan adalah pertubuhan yang sudah terkenal membantu Palestin tetapi tempias individu yang menyamar beri kesan kepada kami walaupun mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Beliau berkata, Haluan mempunyai hubungan rapat dengan lebih 300 NGO diiktiraf di Palestin yang membantu mengagihkan bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa perang Gaza serta kutipan derma yang dilaksanakan tidak bermusim seperti sesetengah pihak.

“Setiap tahun, kita akan menjemput wakil dari Palestin untuk menerima sendiri derma yang dikumpulkan, namun ada masanya kita sendiri akan ke sana bergantung pada keadaan,” katanya.

Kesemua pemimpin itu juga bersedia bertemu Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) untuk membincangkan mengenai keadaan berkenaan dan kebenaran kutipan derma.

Aqsa Sharif salur RM14j

Ahli Jawatankuasa Aqsa Sharif Berhad Pahang, Ahmad Azam Mohd Salleh mengakui tidak ada sebarang masalah mengutip derma sejak tiga tahun pertubuhan itu beroperasi.

Menurutnya, sehingga kini pertubuhan itu berjaya menyalurkan sumbangan RM14 juta tidak termasuk Ramadan lalu dan sumbangan dari rakyat Pahang sahaja berjumlah lebih RM100,000.

Katanya, Aqsa Sharif sudah menghantar RM2 juta dalam bentuk makanan untuk berbuka puasa Ramadan lalu, tetapi gagal menyalurkan kesemua sumbangan kerana masalah sekatan di sana.

Bagaimanapun katanya, sukarelawan Aqsa Sharif akan berusaha untuk ke Palestin bagi tujuan menghantar kesemua sumbangan rakyat Malaysia kerana itu adalah harapan mereka melalui pertubuhan berkenaan.

“Kita mempunyai kerjasama erat dengan banyak NGO berdaftar yang memang melakukan tugas untuk menyalurkan sumbangan sehingga sampai ke tangan rakyat Palestin khususnya mangsa perang Gaza,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan pihak berkuasa negeri menubuhkan pasukan khas untuk memantau secara berterusan bagi mengelakkan penipuan berlaku hanya untuk kepentingan individu tertentu.

Sukar melepasi sempadan

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Pahang, Nasrun Amir Abdullah pula memaklumkan tidak mudah sebuah pertubuhan membuka pejabat di Palestin seperti yang didakwa pihak tertentu yang sebenarnya mahu mengaburi mata penderma.

Katanya, melalui pengalaman sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, pihak berkuasa keselamatan juga tidak boleh melepasi sempadan dan kesukaran berkenaan menyebabkan NGO berdaftar sukar berurusan dengan NGO Palestin.

“Jadi, jangan mudah percaya dengan mana-mana pertubuhan yang mendakwa boleh menghantar bekalan makanan atau sumbangan ke negara bergolak itu,” katanya.

Bagi yayasan itu, Nasrun berkata, mereka mempunyai bukti kukuh penghantaran sumbangan dengan penyediaan plak dan kain rentang yang sukar diciplak pihak tertentu.

Paling membanggakan apabila rakyat Malaysia turut bantu rakyat Palestin menyediakan telaga tiub untuk lebih 300,000 penduduknya.

Menurutnya, sehingga kini kebanyakan sukarelawan NGO melakukan setiap tugas tanpa upah atau tuntutan dan setakat ini berpuas hati dengan kerjasama NGO di Palestin kerana setiap sumbangan yang dihantar ada buktinya.

“Kami sukar masuk ke sana tetapi melalui bantuan NGO terbabit, kita berjaya menghulurkan sumbangan dari rakyat Malaysia kerana masing-masing hanya memberi fokus kepada bidang kemanusiaan,” katanya.

Abim Pahang kecewa

Abim Pahang juga kecewa dengan sikap individu menggunakan pertubuhan untuk kepentingan sendiri.

Setiausahanya, Dr Ahmad Safwan Mohamad berharap, mungkin pertubuhan yang mahu mengaburi mata orang awam tidak akan mengutip derma jika kerajaan tegas dengan dan ada undang-undang khas untuk menghalang golongan ini.

“Mungkin kerajaan boleh melantik satu badan yang sentiasa memantau golongan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Abim juga seperti NGO lain yang mahu membantu meneruskan program dan terkini melalui ‘Hands For Gaza’, sumbangan akan disalurkan kepada rakan NGO mereka iaitu Islamic Society Of Jabalia.

Katanya, sumbangan yang diberikan bertujuan membantu penduduk Gaza menyambung kehidupan.

Ternyata, banyak NGO yang tidak senang dengan kehadiran pertubuhan tidak berdaftar atau individu yang sengaja mencari kesenangan melalui penderitaan rakyat Palestin.

Mereka juga mendakwa, mungkin pertubuhan itu ada menyalurkan bantuan tetapi peratusnya mungkin tidak banyak dan bukti yang dipamerkan kepada orang ramai melalui kotak derma juga boleh diciplak.

Kesemua NGO terbabit mahu pihak berkuasa negeri mengambil tindakan tegas dan memantau golongan ini yang menipu masyarakat atas nama penderitaan di Palestin.

Rakyat Malaysia yang mahu menderma melalui empat NGO ini boleh melawati laman web mereka atau Facebook untuk mendapat kebenaran dan maklumat lanjut.

Terkandas di pintu Rafah


  • Bantuan yang masih gagal dibawa masuk ke Gaza.Bantuan yang masih gagal dibawa masuk ke Gaza.

GEORGETOWN - "Ini adalah krisis terburuk yang pernah kami alami." Itulah luahan Duta Kemanusiaan OIC Gaza, Sani Araby Al Kahery kepada Sinar Harian.

Sani berkata, sehingga kini Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) masih gagal memasuki bumi berdarah, Gaza.

Halangan dari Kerajaan Mesir itu juga menyebabkan ada sukarelawan yang sudah kembali ke Malaysia.

“Ini kali ke-11 kami cuba memasuki Gaza melalui pintu Rafah yang dikawal tentera elit Mesir, walaupun sudah menggunakan ‘kabel’ yang paling kuat iaitu melalui Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Mesir, namun jalan buntu masih membelenggu kami.

“Kami berduka kerana memikirkan kira-kira 1.8 juta rakyat Gaza sedang menderita dan terkepung di sana. Itu yang membuatkan kami cukup sedih,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Tujuh wakil Mapim memulakan misi mereka sejak 11 Ogos lalu.Misi itu adalah susulan beberapa percubaan memasuki Gaza sepanjang Ramadan lalu yang menemui jalan buntu.

“Tahun-tahun sebelum ini agak mudah kerana Mapim pada 2012 hingga 2013 membawa masuk hampir 20 kali delegasi besar untuk menghantar bantuan ke Gaza, berbeza kali ini apabila sudah masuk percubaan yang ke-11, namun masih gagal.

Lebih teruk, katanya, apabila pemandu yang membawa rombongan sukarelawan itu dihumban ke penjara kerana didakwa cuba membawa pelancong ke kawasan larangan.

Malah, khabarnya syarikat pelancongan pemandu bas berkenaan berkemungkinan dibubarkan Kerajaan Mesir.

“Jika ia masih berterusan begini, bekalan perubatan mungkin tidak dapat disalurkan sepenuhnya ke Gaza dan merencatkan kerja sukarelawan. Apa yang paling ditakuti ialah kelewatan ini akan membunuh pesakit yang sudah sedia ada dan semakin kritikal.

“Tidak dinafikan sememangnya bantuan ke Gaza masih boleh disalurkan, namun ia bukanlah berterusan memandangkan pihak tentera masih membuat tapisan dan ada lori kontena yang langsung tidak boleh masuk,” katanya.

Sani kini berkampung bersama beberapa NGO lain di Kaherah atas faktor keselamatan.

Dalam masa terdekat, delegasi Mapim akan ke Istanbul bagi mengadakan mesyuarat tertutup bersama NGO lain.

Walaupun setelah lebih 10 hari berada di luar sana, Mapim tetap menggesa agar sokongan dari masyarakat di negara ini diteruskan.

“Jika boleh biarlah kita berterusan mengadakan demonstrasi secara aman bagi menunjukkan sokongan ini kepada Gaza, sesungguhnya mereka semua sedang terkepung dan semangat dari masyarakat luar amat penting.

“Malah saya turut menggesa supaya bacaan khutbah dalam solat Jumaat mengenai Palestin juga diteruskan tanpa henti, dan boikot terhadap barangan tertentu amatlah berkesan jika terus dilakukan,” katanya.

Mesir gesa Israel, Palestin teruskan rundingan Gaza

RABU, 20 OGOS 2014 @ 5:05 PM
Kesan runtuhan di kawasan perumahan Sheikh Radwan, Semenanjung Gaza digali selepas serangan udara Israel lewat semalam.
 
KAHERAH: Mesir hari ini menggesa Israel dan Palestin supaya meneruskan rundingan dan melahirkan kekecewaan teramat sangat di atas perlanggaran gencatan senjata di Gaza.

Keganasan berlaku lagi di Semenanjung Gaza lewat semalam apabila roket Palestin dan serangan udara Israel menghentikan rundingan tidak langsung di sini bertujuan mencapai persetujuan bagi perdamaian jangka panjang.

Kementerian Luar Mesir menyatakan Kaherah masih berusaha untuk menamatkan pertempuran itu dan menyambung perhubungan dengan Israel dan Palestin bagi mendesak mereka menghormati gencatan senjata.

Anggota penyelamat berkata sembilan rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara Israel sejak meletusnya keganasan baharu ini, menjadikan jumlah kematian melebihi 2,000 orang sejak perang itu bermula pada 8 Julai lalu. - AFP

Beribu-ribu penduduk Gaza meninggalkan rumah masing-masing

RABU, 20 OGOS 2014 @ 7:16 PM

Seorang remaja Palestin meninjau rumahnya yang musnah dalam serangan udara Israel pagi ini.
 
BANDARAYA GAZA: Beribu-ribu rakyat Palestin melarikan diri dari rumah masing-masing di timur bandar raya ini semalam, dengan membawa beg pakaian, bantal dan tilam berikutan serangan udara terbaharu Israel.

Wartawan AFP sendiri nampak beratus-ratus rakyat Palestin meninggalkan Shejaiya, kawasan yang terjejas teruk selepas pertempuran selama lebih sebulan antara Israel dan Hamas.

Beribu-ribu lagi meninggalkan kawasan Zeitun dan Shaaf berikutan letupan yang berlaku dan menuju ke sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendapatkan perlindungan, kata saksi.

Anggota keluarga berjalan keluar dari rumah mereka, atau berasak-asak di dalam kenderaan atau kereta kaldai dengan membawa bekalan dan tilam nipis.

"Kami dengar bunyi letupan. Anak saya berasa takut, justeru saya membawa mereka balik ke sekolah UNRWA di mana kami mendapat perlindungan ketika peperangan ini," kata Um Mohammed Bakrun, yang berjalan dengan adik perempuan dan empat anak.

PBB menyatakan lebih 237,600 rakyat Palestin kini mendapat perlindungan di 81 sekolahnya di sekitar Semenanjung Gaza. - AFP

Israel bunuh tujuh sekeluarga


Mangsa dikenal pasti sebagai Raafat al-Louh, adik-beradiknya Muhammad dan Ahmad, isterinya yang sarat mengandung Nabila, serta anak lelakinya Farah, Maysara dan Mustafa.
Anggota keselamatan juga gagal menyelamatkan nyawa janin Nabila yang hampir sembilan bulan mengandung.

Keluarga Al-Louh yang tinggal di Deir al-Balah antara sekurangnya 20 warga Palestin yang terkorban selain lebih 120 cedera sejak gencatan senjata sementara itu tamat dan Israel memulakan semula serangan udara ke atas Gaza..
Foto
AHLI keluarga menghadiri upacara pengebumian di Deir al-Balah. FOTO EPA

Jurucakap tentera Israel berkata, hampir 100 serangan udara diadakan sejak itu dan 2,000 anggota tentera simpanan yang pulang dua minggu lalu diarah melaporkan diri semula pada Rabu.

Israel juga menggantungkan rundingannya bersama Palestin di Kaherah.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, jumlah kematian meningkat kepada 2,028 orang sejak serangan Israel bermula pada Julai lalu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Israel terus mengganas


Antara yang mati ialah isteri dan anak seorang pemimpin kanan Hamas, Mohammed Deif yang terbunuh selepas serangan Israel memusnahkan sebuah bangunan enam tingkat di Bandar Gaza, kata jurucakap Hamas, Ashraf al-Qudra.

Keganasan terbaru itu meningkatkan jumlah kematian di kalangan rakyat Palestin sejak Israel melancarkan serangan 7 Julai lalu kepada 2,038 orang dan lebih 10,300 lagi cedera. Hampir semua yang terbunuh itu orang awam dan 40 peratus daripada mereka kanak-kanak. Antara yang turut terbunuh dalam keganasan terbaru Zionis itu ialah tiga wanita, seorang daripada sarat mengandung, dan sembilan kanak-kanak.
Jumlah itu termasuk anak yang belum dilahirkan wanita itu yang cuba diselamatkan oleh pasukan perubatan tetapi gagal.

Dua sepupu, Mohammed al-Abeet, 16, dan Saher al-Abeet, 11, juga mati apabila Israel mengebom rumah mereka di Deir al-Balah di tengah Gaza, kata Qudra.

Israel menyambung semula keganasan mereka kira-kira jam 9 malam (waktu Malaysia) kelmarin selepas mendakwa Hamas menyerang tiga roket ke wilayah selatan nya.
Foto
EMPAT anggota sekeluarga yang terkorban dikebumi, semalam.
Tentera udara Israel kemudian bertindak menyerang balas sepanjang malam sehingga semalam.

Serangan awal membunuh isteri kedua Deif, Widad, 27, dan anak mereka, Ali, yang berusia tujuh bulan.
Pasukan penyelamat semalam menarik keluar mayat seorang wanita berusia 48 tahun dan seorang budak lelaki 14 tahun dari runtuhan sebuah bangunan.

Sejurus sebelum subuh, satu lagi serangan disasarkan terhadap sebuah rumah di Deir al-Balah, tengah Gaza, membunuh lapan orang, antara mereka wanita yang sarat hamil itu, tiga kanak-kanak dan tiga lelaki.

Kemudian, satu lagi serangan dilancarkan, membunuh seorang lagi kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang lelaki berusia awal 20-an tahun di Zeitun, selatan Bandar Gaza.

Empat lagi lelaki terbunuh dalam tiga serangan berasingan, dua daripadanya mati apabila Israel melancarkan serangan roket mensasarkan motosikal yang mereka naiki di Beit Lahiya, utara Gaza.

Mayat kedua-dua mereka diselubungi dengan bendera hijau Hamas, menunjukkan mereka adalah anggota pejuang kumpulan itu.

Berikutan keganasan semalam, Hamas bersumpah akan membalas dendam dengan berkata, Israel sudah ‘membuka pintu neraka.’ - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Israel kembali serang Gaza


KEPULAN asap kelihatan ekoran serangan tentera udara Israel di Semenanjung Gaza semalam.- REUTERS


BANDAR GAZA - Pejuang-pejuang Palestin melancarkan puluhan roket manakala Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan udara semalam selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata beakhir kelmarin.
Rejim Zionis mendakwa sepanjang tempoh rundingan diadakan, para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke arah beberapa buah bandar di Israel.
Tindakan tersebut kata rejim Zionis, mendorong ia memanggil pulang delegasinya dari Kaherah dan melancarkan serangan balas ke atas Gaza.
Pihak Palestin bagaimanapun menafikan melancarkan serangan roket.
Mengulas keganasan terbaharu tersebut, pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Kidra berkata, sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin terbunuh manakala 68 lagi cedera.
"Tiga orang yang terbunuh itu termasuk dua wanita dan seorang budak perempuan berumur dua tahun yang maut dalam satu serangan udara ke atas sebuah rumah di sini," kata al-Kidra.
Menurut pemimpin kanan Hamas di Kaherah, Moussa Abu Marzouk, dua daripada tiga mangsa yang mati itu merupakan isteri dan anak perempuan ketua pejuang Hamas, Mohammed Deif.
Deif sebelum ini telah beberapa kali terselamat daripada percubaan Israel untuk membunuhnya.
Tentera Israel pula berkata, pihaknya telah melancarkan 30 serangan udara ke atas Gaza bagi membalas sekurang-kurangnya 70 bedilan roket Palestin sejak kelmarin.
"Pihak tentera turut memanggil semula kira-kira 2,000 askar simpanan yang telah dihantar pulang selepas pertempuran di Gaza mulai reda dua minggu lalu," kata rejim Zionis dalam satu kenyataan.
Perkembangan terbaharu itu menggagalkan rundingan senjata Mesir dan menimbulkan kebimbangan pertempuran sengit di Gaza akan berulang selepas lebih 2,000 penduduk Palestin terbunuh sejak lebih sebulan lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3AyhjUkXD 
Hakcipta terpelihara 

PM terima RM618,000


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima sumbangan RM618,000 untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza@JPM (Jabatan Perdana Menteri) yang dilancarkan semalam.

Sumbangan diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Tabung Haji dan warga JPM termasuk jabatan dan agensi di bawahnya, menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat JPM.– BERNAMA



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Perang meletus kembali di Gaza


Pasukan perubatan Palestin mengangkat mayat seorang kanak-kanak dipercayai anak kepada Mohammed Deif yang terbunuh dalam serangan udara tentera Israel ke atas sebuah hospital di Gaza City, kelmarin. - REUTERS
GAZA CITY 20 Ogos - Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza, dan Hamas membalas dengan melancarkan roket ke wilayah Israel, beberapa jam sebelum tempoh gencatan senjata terbaharu selama 24 jam tamat, semalam mengakibatkan rundingan damai tajaan Mesir di Kaherah terhenti dan Israel memanggil pulang wakil mereka di situ.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Kidra berkata, sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin terbunuh termasuk isteri dan anak kepada ketua komander Briged al-Qassam, Mohammed Deif, manakala 68 orang lagi cedera.
Tentera Israel berkata, mereka melancarkan sebanyak 30 serangan udara ke atas beberapa sasaran di Gaza dengan Hamas pula melancarkan sekurang-kurangnya 70 serangan roket ke wilayah Israel selepas gencatan senjata sementara sebelum ini menemui kegagalan.
Israel turut mengerahkan semula kira-kira 2,000 askar simpanan mereka yang sebelum ini dihantar pulang dua minggu lalu, untuk kembali bertugas, hari ini.
Kegagalan rundingan dan meletusnya semula perang itu merupakan tamparan pahit kepada usaha diplomasi selama hampir seminggu anjuran Mesir dalam usaha menghentikan konflik terburuk antara Israel dan Hamas sejak pergerakan itu mula menguasai Gaza pada 2007.
Sementara itu, Ashraf berkata, serangan ke atas kediaman Mohammed Deif di Gaza City membunuh tiga orang iaitu dua wanita termasuk isteri pemimpin Hamas itu dan seorang anaknya berusia dua tahun.
Media tempatan melaporkan serangan tersebut disasarkan ke atas komander berkenaan.
Di Israel, siren amaran serangan roket Hamas kedengaran di bandar-bandar di selatan Israel pagi ini, namun tiada laporan kecederaan meskipun terdapat serpihan roket yang dipintas jatuh berhampiran jalan raya yang sibuk di Tel Aviv, malam tadi.
Dalam perkembangan berasingan, pegawai keselamatan Mesir mendesak kedua-dua pihak menyambung semula rundingan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_01/Perang-meletus-kembali-di-Gaza#ixzz3AyW4yTcw
© Utusan Melayu (M) Bhd