Thursday 21 August 2014

Israel terus mengganas


Antara yang mati ialah isteri dan anak seorang pemimpin kanan Hamas, Mohammed Deif yang terbunuh selepas serangan Israel memusnahkan sebuah bangunan enam tingkat di Bandar Gaza, kata jurucakap Hamas, Ashraf al-Qudra.

Keganasan terbaru itu meningkatkan jumlah kematian di kalangan rakyat Palestin sejak Israel melancarkan serangan 7 Julai lalu kepada 2,038 orang dan lebih 10,300 lagi cedera. Hampir semua yang terbunuh itu orang awam dan 40 peratus daripada mereka kanak-kanak. Antara yang turut terbunuh dalam keganasan terbaru Zionis itu ialah tiga wanita, seorang daripada sarat mengandung, dan sembilan kanak-kanak.
Jumlah itu termasuk anak yang belum dilahirkan wanita itu yang cuba diselamatkan oleh pasukan perubatan tetapi gagal.

Dua sepupu, Mohammed al-Abeet, 16, dan Saher al-Abeet, 11, juga mati apabila Israel mengebom rumah mereka di Deir al-Balah di tengah Gaza, kata Qudra.

Israel menyambung semula keganasan mereka kira-kira jam 9 malam (waktu Malaysia) kelmarin selepas mendakwa Hamas menyerang tiga roket ke wilayah selatan nya.
Foto
EMPAT anggota sekeluarga yang terkorban dikebumi, semalam.
Tentera udara Israel kemudian bertindak menyerang balas sepanjang malam sehingga semalam.

Serangan awal membunuh isteri kedua Deif, Widad, 27, dan anak mereka, Ali, yang berusia tujuh bulan.
Pasukan penyelamat semalam menarik keluar mayat seorang wanita berusia 48 tahun dan seorang budak lelaki 14 tahun dari runtuhan sebuah bangunan.

Sejurus sebelum subuh, satu lagi serangan disasarkan terhadap sebuah rumah di Deir al-Balah, tengah Gaza, membunuh lapan orang, antara mereka wanita yang sarat hamil itu, tiga kanak-kanak dan tiga lelaki.

Kemudian, satu lagi serangan dilancarkan, membunuh seorang lagi kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang lelaki berusia awal 20-an tahun di Zeitun, selatan Bandar Gaza.

Empat lagi lelaki terbunuh dalam tiga serangan berasingan, dua daripadanya mati apabila Israel melancarkan serangan roket mensasarkan motosikal yang mereka naiki di Beit Lahiya, utara Gaza.

Mayat kedua-dua mereka diselubungi dengan bendera hijau Hamas, menunjukkan mereka adalah anggota pejuang kumpulan itu.

Berikutan keganasan semalam, Hamas bersumpah akan membalas dendam dengan berkata, Israel sudah ‘membuka pintu neraka.’ - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

No comments:

Post a Comment