Thursday 21 August 2014

Israel kembali serang Gaza


KEPULAN asap kelihatan ekoran serangan tentera udara Israel di Semenanjung Gaza semalam.- REUTERS


BANDAR GAZA - Pejuang-pejuang Palestin melancarkan puluhan roket manakala Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan udara semalam selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata beakhir kelmarin.
Rejim Zionis mendakwa sepanjang tempoh rundingan diadakan, para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke arah beberapa buah bandar di Israel.
Tindakan tersebut kata rejim Zionis, mendorong ia memanggil pulang delegasinya dari Kaherah dan melancarkan serangan balas ke atas Gaza.
Pihak Palestin bagaimanapun menafikan melancarkan serangan roket.
Mengulas keganasan terbaharu tersebut, pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Kidra berkata, sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin terbunuh manakala 68 lagi cedera.
"Tiga orang yang terbunuh itu termasuk dua wanita dan seorang budak perempuan berumur dua tahun yang maut dalam satu serangan udara ke atas sebuah rumah di sini," kata al-Kidra.
Menurut pemimpin kanan Hamas di Kaherah, Moussa Abu Marzouk, dua daripada tiga mangsa yang mati itu merupakan isteri dan anak perempuan ketua pejuang Hamas, Mohammed Deif.
Deif sebelum ini telah beberapa kali terselamat daripada percubaan Israel untuk membunuhnya.
Tentera Israel pula berkata, pihaknya telah melancarkan 30 serangan udara ke atas Gaza bagi membalas sekurang-kurangnya 70 bedilan roket Palestin sejak kelmarin.
"Pihak tentera turut memanggil semula kira-kira 2,000 askar simpanan yang telah dihantar pulang selepas pertempuran di Gaza mulai reda dua minggu lalu," kata rejim Zionis dalam satu kenyataan.
Perkembangan terbaharu itu menggagalkan rundingan senjata Mesir dan menimbulkan kebimbangan pertempuran sengit di Gaza akan berulang selepas lebih 2,000 penduduk Palestin terbunuh sejak lebih sebulan lalu. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3AyhjUkXD 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment