Friday 23 September 2016

2017 Tahun Israel Akhiri Penjajahan - Abbas


Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2016 3:47 PM

SEBUAH jentolak tentera Israel mengangkut tanah di pintu masuk kampung penduduk Palestin di Bani Naim, timur Tebing Barat pada 21 September 2016. - AFP

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan tahun 2017 sebagai tahun berakhirnya penjajahan Israel.

Dalam ucapannya pada Persidangan Agung PBB di sini, Khamis, Abbas dengan lantang menyeru masyarakat antarabangsa menyokong usaha untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Israel mula menjajah kawasan penduduk Palestin sejak Jun 1967 dan tahun depan merupakan ulang tahun ke-50 detik-detik hitam tersebut.

"Bagi pihak yang percaya dengan jalan penyelesaian dua negara, mereka perlu mengiktiraf kedua-dua negara yang terlibat (Palestin dan Israel), bukannya satu sahaja negara.

"Selain itu, rejim Zionis juga perlu mengiktiraf Palestin dan menghentikan penjajahan di wilayah kami supaya negara Palestin boleh wujud bersebelahan Israel dengan aman dan selamat.

"Kami sentiasa menghulurkan tangan kepada mereka yang mahu membina keamanan tetapi persoalannya, adakah pemimpin Israel yang mengetuai penjajahan, mahu keamanan dicipta," kata beliau seperti dilaporkan portal Al Jazeera.

Kebanyakan negara-negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi Israel dan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Jerman enggan berbuat demikian.

Terdahulu, Abbas berkata, aktiviti pembinaan penempatan haram di kawasan Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis, hanya akan menghancurkan sebarang usaha penubuhan dua buah negara.

Perkara yang sama pernah dibangkitkan sekutu kuat Israel, Washington pada Ogos lalu yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan rejim meluluskan projek pembinaan rumah untuk pendatang haram Yahudi di wilayah Palestin.

Abbas juga meminta Britain meminta maaf kerana memainkan peranan dalam perjanjian Balfour pada 1917 yang membenarkan orang Yahudi tinggal di Palestin.

"Britain perlu mengiktriraf Palestin bagi membetulkan kesilapan mereka itu.

"Setidak-tidaknya mereka perlu memohon maaf atas perkara tersebut," kata Abbas.