Monday 10 October 2016

Profesor Palestin dihukum penjara 7 bulan

ISNIN, 10 OKTOBER 2016 @ 12:37 AM

 IMAD Barghouti ditahan kerana ulasan dalam Facebook. - Foto timesofisrael

BAITULMAQDIS: Seorang profesor astrofizik berketurunan Palestin dituduh menghasut keganasan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan hari ini oleh sebuah mahkamah tentera Israel, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin. Imad Barghouti, 52, ditahan April lalu dan dipenjara tanpa dibicara selama tiga bulan, di bawah prosedur Israel dikenali sebagai penahanan pentadbiran. Peguamnya berkata, dia ditahan kerana ulasan dalam Facebook. Barghouti dituduh menghasut keganasan terhadap Israel dan media negara itu berkata, dia disyaki ada hubungan dengan kumpulan Hamas. Peguamnya merayu kepada mahkamah tentera Israel selepas ditahan, yang mana Mei lalu memutuskan dia sepatutnya dibebaskan. Bagaimanapun, pendakwa raya tentera memilihnya supaya dibicara, menjurus kepada hukuman semalam. Selain hukuman penjara, Barghouti turut didenda 2,000 shekels (RM2,179.28), menurut Kelab Tahanan Palestin. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/200613

Tentera Israel tahan puluhan warga Palestin

ISNIN, 10 OKTOBER 2016 @ 5:31 PM

TENTERA Israel bertempur dengan penunjuk perasaan Palestin di Baitulmaqdis. - Foto Reuters

BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel menahan berpuluh-puluh penduduk Palestin selepas insiden tembakan, di sini yang mengorbankan dua nyawa manakala lima lagi cedera. Menteri Keselamatan Awam, Gilad Erdan yang memberitahu radio tentera berkata, penahanan dibuat selepas serangan, semalam, termasuk 31 penduduk Palestin yang mahu menyertai sambutan memperingati penyerang di kalangan anggota keluarga mereka di timur Baitulmaqdis. Jurucakap polis wanita, Luba Samri berkata, kira-kira 15 penduduk Palestin yang lain turut ditahan kerana melemparkan batu dan bom api ke arah pasukan keselamatan di timur bandar raya berkenaan. Penahanan itu berlaku selepas serangan, semalam apabila seorang penduduk Palestin berusia 39 tahun bertindak melepaskan tembakan dari kereta sebelum dia dikejar polis. Dalam kejadian itu, dua warga Israel terbunuh, termasuk seorang pegawai polis dan juga wanita berusia 60-an. Penyerang dikenali sebagai Misbah Abu Sbeih dari kawasan Silwan di Baitulmaqdis, ditembak mati oleh polis. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/200797