Sunday, 7 April 2013

Israel tembak mati 2 remaja Palestin



NABLUS, Wilayah Palestin 4 April - Pasukan tentera Israel menembak mati dua remaja Palestin dalam satu pertempuran di Tebing Barat, semalam, sekali gus meningkatkan ketegangan menjelang upacara pengebumian seorang tahanan Palestin yang meninggal dunia di Israel kelmarin.
Beberapa pertempuran berlaku di Tulkarem di utara Tebing Barat, sehari selepas tunjuk perasaan ganas tercetus di sekitar Tebing Barat, berikutan kematian Maisara Abu Hamdiyeh akibat kanser tekak di sebuah penjara di Israel.
Dalam demonstrasi berkenaan, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membaling bom petrol ke pondok pemeriksaan tentera di Tulkarem.
Menurut pihak berkuasa Palestin, dua remaja yang terkorban dikenal pasti sebagai Amer Nassar, 16, yang ditembak di kepala, manakala sepupunya Naji Balbisi, 17 tahun ditemui mati dengan luka di dada.
Kematian Maisara mencetuskan beberapa kekecohan termasuk di kampung halamannya di bandar Hebron apabila premis-premis perniagaan ditutup semalam, selain penduduk awam membaling batu ke arah pasukan tentera Israel di tengah bandar itu.
Perkhidmatan Penjara Israel melaporkan, beribu-ribu tahanan di beberapa penjara turut melancarkan mogok besar-besaran.
Tunjuk perasaan itu juga merebak ke bandar ini dan timur Baitulmaqdis. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130405/lu_05/Israel-tembak-mati-2-remaja-Palestin#ixzz2Pjoz6DI5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Demonstrasi setiap Isnin

Foto
RATUSAN keluarga berkumpul mendesak Israel membebaskan tahanan perang.
Gaza: Ratusan keluarga berkumpul di Pejabat Palang Merah di sini, pada setiap Isnin untuk melakukan demonstrasi aman bagi mendesak Israel membebaskan ribuan rakyat dan pejuang Palestin yang ditahan.
Wartawan dimaklumkan, demonstrasi itu akan bermula antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari setiap minggu.
Seorang daripada penganjur himpunan itu yang enggan dikenali berkata, seramai 4,000 rakyat dan pejuang Palestin menjadi tahanan di penjara Israel.

“Di Gaza saja, masih ada 500 orang ditahan dan diyakini sedang dizalimi tentera Israel dengan pelbagai seksaan yang tak mampu dibayangkan kesakitan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, kekejaman tentera zionis itu hanya akan diketahui apabila tahanan dibebaskan kerana tidak semua mereka melalui penderaan yang sama.

Hapus Israel dari Internet hari ini



Baitulmaqdis: Kumpulan aktivis penggodam terkenal Anonymous bersiap sedia melancarkan serangan siber besar-besaran untuk menghapuskan Israel daripada Internet mulai hari ini.

Ia bertepatan dengan sambutan hari peringatan Holocaust di negara haram Yahudi itu.


Usaha itu akan berterusan hingga esok.

Beberapa kumpulan penggodam turut menyertai rancangan itu yang matlamatnya untuk melancarkan serangan bersama.


Rabu lalu, kira-kira 15,000 akaun Facebook penduduk Israel digodam. Menurut laporan, virus yang dilepaskan menerusi satu alamat IP membolehkan ia menyerang komputer di Israel.


Ini bukan kali pertama kumpulan pro-Palestin itu menyasarkan rejim Zionis. November lalu, Anonymous melancarkan serangan besar-besaram terhadap laman web kerajaan, bank dan syarikat perniagaan kad kredit Israel.

Anonymous merancang misi yang dikenali Op-Israel itu bulan lalu.


“Kamu tidak pernah merancang menghentikan pencabulan terhadap hak asasi manusia. Kamu tidak pernah mahu menghormati undang-undang antarabangsa.

“Kerana itu anggota kami di seluruh dunia akan bersatu dengan rakyat Palestin untuk menghapuskan kamu daripada Internet,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. - Agensi

Mahmoud mungkin pecat Perdana Menteri



Ramallah: Presiden Palestin Mahmoud Abbas mungkin memecat Perdana Menteri Salam Fayad.

Seorang anggota Fatah memberitahu demikian ketika Fatah, parti yang menguasai Tebing Barat menyelar perdana menteri itu kerana ‘ketinggalan dan keliru.’
“Mahmoud kini cenderung untuk memecat Salam dan melantik orang baru untuk mengetuai kerajaan,” kata seorang anggota Majlis Revolusi Fatah yang enggan namanya disiarkan.

“Saya lebih marah berbanding kamu semua dalam kerajaan.Saya enggan bercakap lebih lanjut buat masa ini. Tunggu tiga hari lagi,” kata jurucakap itu, memetik kata-kata Mahmoud pada mesyuarat majlis berkenaan di Ramallah, semalam.


Menurutnya, punca kemarahan pemimpin Palestin itu berkait dengan Menteri Kewangan Nabil Qassis meletak jawatan. Mahmoud enggan menerima peletakan jawatan itu, tetapi Salam pakar ekonomi yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, bertindak sebaliknya.


Nabil, bekas presiden Universiti Bir Zeit yang menyertai kerajaan pada Mei 2012 mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Mac lalu tanpa memberi sebarang sebab. Mahmoud berada di luar negara ketika itu.

“Presiden itu memberitahu Salam jika Nabil meletak jawatan, beliau akan memecat kerajaannya dan membentuk yang baru,” kata jurucakap itu. - AFP