Sunday, 7 April 2013

Israel tembak mati 2 remaja Palestin



NABLUS, Wilayah Palestin 4 April - Pasukan tentera Israel menembak mati dua remaja Palestin dalam satu pertempuran di Tebing Barat, semalam, sekali gus meningkatkan ketegangan menjelang upacara pengebumian seorang tahanan Palestin yang meninggal dunia di Israel kelmarin.
Beberapa pertempuran berlaku di Tulkarem di utara Tebing Barat, sehari selepas tunjuk perasaan ganas tercetus di sekitar Tebing Barat, berikutan kematian Maisara Abu Hamdiyeh akibat kanser tekak di sebuah penjara di Israel.
Dalam demonstrasi berkenaan, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membaling bom petrol ke pondok pemeriksaan tentera di Tulkarem.
Menurut pihak berkuasa Palestin, dua remaja yang terkorban dikenal pasti sebagai Amer Nassar, 16, yang ditembak di kepala, manakala sepupunya Naji Balbisi, 17 tahun ditemui mati dengan luka di dada.
Kematian Maisara mencetuskan beberapa kekecohan termasuk di kampung halamannya di bandar Hebron apabila premis-premis perniagaan ditutup semalam, selain penduduk awam membaling batu ke arah pasukan tentera Israel di tengah bandar itu.
Perkhidmatan Penjara Israel melaporkan, beribu-ribu tahanan di beberapa penjara turut melancarkan mogok besar-besaran.
Tunjuk perasaan itu juga merebak ke bandar ini dan timur Baitulmaqdis. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130405/lu_05/Israel-tembak-mati-2-remaja-Palestin#ixzz2Pjoz6DI5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment