Laporan itu didedahkan Pertubuhan bagi Perlindungan Kanak-Kanak Antarabangsa (DCI) yang mendakwa, askar Israel dan kumpulan pendatang Yahudi menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran keganasan melampau.
Peguam dan pegawai sokongan pertubuhan itu, Brad Parker yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antara 6 Oktober dan 12 Oktober, sekurang-kurangnya 201 kanak-kanak Palestin mengalami kecederaan akibat keganasan pasukan keselamatan Israel atau pendatang Yahudi di kedua-dua wilayah berkenaan.
Jelasnya, pihak keselamatan Israel sepatutnya boleh menahan kanak-kanak yang terlibat dalam tunjuk perasaan tanpa perlu menggunakan senjata berbahaya.
“Dasar ganas Israel iaitu ‘tembak untuk membunuh’ mencetuskan kebimbangan dan mengundang kritikan ramai pihak.
“Undang-undang antarabangsa melarang penggunaan senjata api selagi situasi tidak mengancam nyawa dan kami mendapati kanak-kanak yang dibunuh oleh tentera Israel tidak mencetuskan sebarang bahaya,” katanya.
Selain itu, pegawai Pusat Hak Asasi Manusia Universiti Harvard, Federica D’Alessandra menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan kanak-kanak Palestin yang mengalami kesan psikologi yang teruk akibat keganasan rejim Zionis.
“Banyak kajian pakar menunjukkan kanak-kanak Palestin mengalami tekanan, kebimbangan, trauma, dan kesukaran psikologi akibat konflik di Tebing Barat dan Genting Gaza,” katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel selepas mangsa bersama seorang lagi rakan didakwa melakukan serangan tikaman sebuah hentian bas di barat Baitulmaqdis.
Kematian terbaharu itu menjadikan angka korban dalam kalangan rakyat Palestin akibat kekejaman Israel meningkat kepada 52 orang.