Sunday 28 April 2013

Israel bedil pangkalan Hamas



28 April 2013
GENTING GAZA - Tentera rejim Zionis hari ini melancarkan serangan udara ke atas pangkalan Hamas di Rafah kononnya sebagai tindak balas terhadap roket dilancarkan ke selatan Israel, sehari sebelum itu.

Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP) mengesahkan tiada kematian atau mangsa cedera akibat serangan tersebut.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan roket itu, namun Israel mendakwa ia didalangi kumpulan ekstremis, lapor AP.

Jumaat lalu, kira-kira 500 penduduk Palestin berarak di Tebing Barat sebagai membantah perbuatan biadab pendatang haram Yahudi yang menyerang dan membakar kereta mereka, minggu lalu.

Bagaimanapun, tentera Israel bertindak melepaskan beberapa das tembakan dan gas pemedih mata ke arah mereka.

"Kami berhimpun secara aman untuk menuntut pendatang Yahudi diusir dari kampung kami," kata salah seorang penduduk, Sami Issa.

Sementara itu, tentera Israel memaklumkan bahawa mereka akan melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut.