Shin Bet dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan perisik, suspek yang kini berada dalam tahanan, bergerak dari rumah mereka di Nokdim, Tebing Barat dan berusaha mendapatkan pelancar RPG untuk disasarkan ke atas kenderaan milik Lieberman
Katanya, suspek dikenali sebagai Ibrahim el-Zir, Ziad el-Zir dan Adnas Tzabih berasal dari kampung Harmala, Tebing Barat ditahan dalam satu operasi yang melibatkan kerjasama Shin Bet, tentera dan polis.
“Ketika berlakunya peperangan di Gaza antara Julai dan Ogos lalu, Ibrahim merancang melancarkan serangan ke atas kenderaan Menteri Luar, Avigdor Lieberman dengan harapan serangan tersebut akan dapat memberi mesej kepada Israel untuk menghentikan serangan mereka ke atas Gaza,” jelas Shin Bet.
Bagaimanapun, agensi itu tidak mendedahkan bila penahanan dilakukan.
Dalam perkembangan lain, jurucakap polis Israel, Luba Samri semalam berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menghalang pemuda Islam mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa, meskipun berlakunya serangan ganas di bandar berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
“Setakat ini tiada sekatan dikenakan ke atas umat Islam yang mahu memasuki masjid tersebut, namun, situasi semasa akan dipantau dan sebarang perubahan akan diberitahu kelak,” jelas Luba.
Israel bertindak melonggarkan sekatan ke atas masjid tersebut minggu lalu, selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mengumumkan perjanjian yang dicapai dalam perbincangan yang dijalankan di Jordan bagi meredakan ketegangan antara Palestin dan Israel. – AFP