Saturday 22 November 2014

Israel mahu roboh empat lagi kediaman keluarga Palestin


AFP - SEORANG kanak-kanak yang merupakan saudara kepada Abdelrahman Shaludi menunjukkan gambar lelaki itu selepas rumahnya di kawasan kejiranan Silwan di Baitulmuqaddis Timur dirobohkan oleh tentera Israel pada Rabu lalu.


BAITULMUQADDIS – Israel kelmarin memaklumkan kepada keluarga empat penyerang Palestin bahawa kediaman mereka di Baitulmuqaddis Timur di sini akan dimusnahkan di sebalik amaran bahawa hukuman itu bukan sahaja tidak berkesan malah akan mendatangkan akibat buruk terhadap rejim Zionis.
Kediaman itu milik keluarga dua pemuda Palestin yang membunuh empat penduduk Israel dan seorang anggota polis di sebuah rumah ibadat Yahudi di sini Selasa lalu.
Sebuah lagi kediaman ialah milik keluarga seorang lelaki Palestin yang membunuh seorang anggota polis pengawal sempadan Israel dalam satu serangan pada 5 November dan kediaman keluarga seorang penduduk Palestin yang menembak mati seorang aktivis Yahudi pada 22 Oktober lalu.
Seorang jurucakap tentera di ibu kota Israel, Tel Aviv memberitahu bahawa semua keluarga berkenaaan diberi tempoh 48 jam untuk mengemukakan rayuan.
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar utama Israel, Yediot Ahronot melaporkan bahawa penasihat undang-undang rejim Zionis, Yehuda Weinstein berkata, beliau tidak senang dengan dasar kontroversi itu.
Akhbar sama menyatakan agensi keselamatan Israel, Shin Beit menyifatkan hukuman tersebut adalah wajar dan berkesan menghindarkan serangan penduduk Palestin walaupun dibantah pihak tentera.
Pada Rabu lalu, pihak berkuasa Israel meletupkan kediaman seorang lelaki Palestin yang memandu sebuah kereta dan melanggar serta menyebabkan kematian seorang bayi berumur tiga bulan dan seorang wanita Ecuador pada 22 Oktober lalu.
Mengulas perkembangan itu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jeff Rathke menggesa Israel agar tidak menggunakan letupan sebagai bentuk hukuman kerana menganggapya sebagai tidak produktif dalam situasi tegang di sini.
“Amalan ini, saya ingin ingatkan bahawa pemerintah Israel sendiri yang membatalkannya pada masa lalu kerana tidak produktif,” kata Rathke. – dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3JjwtJmba 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment