Saturday 1 March 2014

Larang solat Jumaat di masjid Al-Aqsa

Larang solat Jumaat di masjid Al-Aqsa
Tentera berkumpul dan berkawal di hadapan masjid Al-Aqsa bagi melarang solat Jumaat, semalam. 
1 Mac 2014
 BAITULMUQADDIS - Israel mengeluarkan perintah mengehadkan jumlah jemaah bagi solat Jumaat di masjid Al-Aqsa dengan alasan bagi mengelakkan pertempuran dengan pihak berkuasa tempatan.

Jurucakap polis Luba Samri berkata, lelaki di bawah umur 50 tidak dibenarkan bersolat Jumaat di situ selepas mendapat maklumat kononnya mereka merancang untuk melakukan kekacauan.

“Sumber risikan mendapati, mereka mahu melakukan kekecohan dengan pihak polis. Mereka tidak boleh ke masjid atau berada berhampiran kawasan masjid terbabit,” katanya dalam laporan Al Arabiya.

Perintah itu dibuat selepas tercetus pertempuran antara polis dan penduduk Palestin di perkarangan Parlimen Israel selepas debat kesamaan hak antara Islam dan Yahudi dibincangkan.

Sementara itu, tindakan menghalang solat Jumaat itu juga turut dikecam Imam Besar Mesir Sheikh Dr Ahmed Al-Tayeb.

Beliau menegaskan, semua umat Islam di seluruh dunia digesa mempertahankan masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam itu dari dirampas kerajaan Zionis.

Mahu robohkan al-Aqsa


27 Februari 2014


BEIRUT - Gerakan Hizbullah, menggesa penduduk Palestin untuk terus menentang plot jahat Israel yang mahu merobohkan masjid al-Aqsa.

Menurut laporan Press TV, Gerakan penentangan di Lubnan itu turut menyokong tindakan penduduk Palestin yang bermati-matian mempertahankan kesucian al-Aqsa daripada ditakhluki rejim Zionis.

"Israel berterusan mengugut untuk merobohkan masjid itu. Bangkitlah! seluruh masyarakat negara Islam. Ayuh bersatu menggagalkan rancangan Yahudi," jelas kenyataan itu lagi.

Kelmarin, pihak berkuasa Israel sekali lagi menggempur pekarangan masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam sehingga menyebabkan kira-kira 20 penduduk Palestin cedera.

Difahamkan, ketegangan semakin meningkat selepas Knesset merancang mengisytiharkan kawasan sekitar Al-Haram asy-Syarif sebagai wilayah kedaulatan Israel.

40 keluarga Palestin diusir


28 Februari 2014


BAITULMAQDIS - PALESTIN. Tentera Israel dan pegawai pentadbiran awam mengeluarkan perintah mengusir dan akan merobohkan kediaman 40 keluarga Palestin di sekitar timur al-Quds.

Arahan dikeluarkan kepada keluarga yang tinggal di kejiranan Jabal al-Baba di al-Ezariya dan diberi tempoh sehingga 3 Mac untuk meninggalkan kediaman mereka.

Jurucakap Jawatankuasa Palestin Hani Halabiya berkata, kira-kira 300 rakyat Palestin Badwi dari Jahalin tinggal di kawasan perumahan yang dibina daripada besi, kayu, papan timah dan khemah.

"Minggu lalu, tentera Israel memusnahkan struktur besi rumah kepunyaan masyarakat Badwi Jahalin menyebabkan lebih 55 orang kehilangan tempat tinggal," katanya dalam laporan Press TV.

Israel cuba merampas penempatan di Jabal al-Baba untuk meluaskan kawasan diduduki hingga ke Maale Adumin.