GENTING GAZA - PALESTIN. Kegembiraan seorang ibu yang sedang menyediakan makan malam selepas pulang memancing bersama tiga anaknya bertukar duka selepas rumah mereka yang hanya diterangi cahaya lilin musnah dalam satu kebakaran di wilayah Gaza.
Insiden di kem pelarian al-Shati itu turut meragut nyawa kesemua anaknya, Yousra, Rahaf dan Naser yang berumur antara satu dan lima tahun pada Jumaat lalu.
"Anak saya mati dalam kelaparan," kata Nida sambil teresak-esak ketika pengebumian anak-anaknya, kelmarin.
Sejurus pengebumian itu selesai, ratusan penduduk Palestin bertindak mengadakan protes mengutuk sekatan haram Israel yang menyebabkan bekalan elektrik terputus sehingga 18 jam sehari di Genting Gaza.
Difahamkan, bekalan elektrik di wilayah tersebut dibekalkan oleh loji kuasa tunggal, namun ia terpaksa menghentikan operasi akibat kekurangan bahan api.
Beberapa pihak mendakwa tindakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) membatalkan pengecualian cukai bahan api telah menyebabkan Genting Gaza berdepan masalah kerana mereka tidak mampu membayar sehingga AS$2.6 juta (RM10.4 juta) sebulan untuk mengimport bahan api ke wilayah terbabit. - Press TV