Tuesday 8 October 2013

'Rundingan hanya membuang masa'

'Rundingan hanya membuang masa'Penduduk dunia bersimpati dengan rakyat Palestin.

TEBING BARAT - Ratusan rakyat Palestin mendesak pihak berkuasa menarik diri daripada rundingan damai dengan Israel.

Media tempatan melaporkan, penunjuk perasaan terdiri daripada pelbagai pergerakan politik termasuk Hamas dan Barisan Pembebasan Palestin itu bertindak berhimpun di jalan-jalan utama sekitar Ramallah, semalam.

Seorang penunjuk perasaan berkata, Ketua Pihak Berkuasa Palestin Mahmoud Abbas perlu menarik diri daripada rundingan.

“Kami menuntut pihak berkuasa  mengheret rejim Tel Aviv ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas kesalahan yang mereka lakukan terhadap  rakyat Palestin,” katanya.

Menurutnya lagi, rundingan itu hanya membuang masa dan menguntungkan Israel dan rakyat Palestin akhirnya terus menderita.

“Rundingan tidak membawa makna apabila Israel baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk membina kira-kira 3,000 unit lagi penempatan haram di atas tanah Palestin,” katanya dipetik Press TV

Tindakan itu sekali gus menyaksikan usaha Barat untuk mencari perdamaian di Timur Tengah terutamanya antara Israel dan Palestin melalui laluan sukar.

Sementara itu, tentera Mesir mengesahkan 794 terowong di Rafah telah dimusnahkan hingga menyebabkan puluhan penduduk Gaza maut akibat terperangkap ketika operasi pemusnahan tersebut.

Terowong itu adalah talian hayat buat 1.7 juta penduduk untuk ke ‘dunia luar’ bagi mendapatkan kemudahan asas selepas Israel mengetatkan laluan sah di sempadan Rafah.

Bunga perang Palestin

Bunga perang PalestinSabiha Abu Rahma menyiram pokok yang ditanam dalam bekas gas pemedih mata di Bilin, Ramallah. - Foto AP Tebing Barat: Penduduk di sebuah perkampungan Palestin menanam bunga dalam beratus-ratus bekas gas pemedih mata tentera Israel sebagai memperingati mereka yang maut ketika memprotes tembok pemisah penjajah Yahudi di situ.

Penduduk Bilin, terletak 12 kilometer di barat Ramallah, baru-baru ini menjadi simbol penentangan secara aman terhadap penjajahan Israel khususnya pembinaan rumah pendatang Yahudi.
Masyarakat kampung itu mewujudkan satu kebun di tengah kawasan padang pasir di Tebing Barat dengan menaman bunga dalam bekas gas pemedih mata yang mereka kutip selepas pertempuran berlaku dengan polis Israel.


“Kami boleh tunjukkan makna kehidupan menerusi bekas gas pemedih mata yang boleh membunuh manusia.

“Kami tanam bunga di dalamnya,” kata wartawan Palestin, Khadi Abu Rahma yang menjadi antara pemberi idea mewujudkan kebun itu.

Khadi adalah sepupu Bassem Abu Rahma, seorang pemimpin protes yang terbunuh pada 2009 selepas bekas gas pemedih mata menghentam dadanya.

Tuntut hak
Kebun bekas gas pemedih mata itu adalah antara usaha memperingatinya dan mangsa lain yang menuntut hak ke atas tanah mereka.

Antara yang paling aktif mengutip bekas gas pemedih mata itu ialah Sabiha Abu Rahma, ibu Bassem yang mengumpulkan beratus-ratus bekas itu sejak beberapa tahun lalu.

Lambang kehidupan rumit 

Salah seorang pemimpin masyarakat di Bilin, Muhammad Hativ, berkata kebun unik berkenaan melambangkan kehidupan mereka dalam suasana yang rumit.

Penduduk Bilin menuntut 60 peratus tanah pertanian mereka terputus selepas pembinaan tembok keselamatan Israel.

Pada 2004, Mahkamah Agung Israel membuat keputusan bahawa tembok keselamatan perlu diubah sebahagiannya.

Bantah bina tembok

Sejak 2005, penduduk kampung berkenaan melakukan protes terhadap tembok itu setiap Jumaat yang biasanya berakhir dengan kekerasan oleh askar Israel.
Perjuangan penduduk kampung itu dijadikan filem Five Broken Cameras yang menjadi antara calon Oscar.

Meskipun mendapat bantahan, Israel memberi alasan bahawa tembok itu diperlukan bagi menyekat penyerang dari Palestin melakukan serangan.

AGENSI