Monday, 15 September 2014

Hamas enggan runding, tunduk dengan Israel

Rumah mudah alih disediakan di kawasan kejiranan di selatan Gaza untuk memberi perlindungan kepada penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal. Gambar kecil: Haniyeh
Rumah mudah alih disediakan di kawasan kejiranan di selatan Gaza untuk memberi perlindungan kepada penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal. Gambar kecil: Haniyeh
GENTING GAZA - Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, kelmarin menegaskan gerakan itu tidak akan menyertai sebarang rundingan langsung dengan Israel.

Menurut Haniyeh, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas perlu memainkan peranan utama dan memasang strategi untuk berunding dengan Tel Aviv yang selama ini sering berdolak-dalik dengan tuntutan Hamas.

"Walaupun kami menolak rundingan dengan Israel, ia tidak bermakna Hamas menentang mana-mana langkah politik yang telah ditandatangani bersama Fatah," katanya lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan Mesir supaya memberi tekanan kepada rejim Zionis bagi memastikan mereka mematuhi perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada 26 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal  memaklumkan rundingan secara langsung dengan Israel tidak termasuk dalam agenda utama gerakan itu.
"Kami hanya bersetuju untuk menyertai rundingan secara tidak langsung bersama mereka," jelasnya menurut laporan MEM.

Selain itu, Meshaal turut menolak gesaan Tel Aviv  yang menuntut mereka melaksanakan pelucutan senjata bagi memulakan projek pembinaan semula di Genting Gaza. 

Poroshenko, Obama lakukan jenayah perang

Kira-kira 285,000 penduduk terpaksa menjadi pelarian akibat konflik di timur Ukraine.
Kira-kira 285,000 penduduk terpaksa menjadi pelarian akibat konflik di timur Ukraine.
ROM - UKRAINE . Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan rakan sejawatnya, Barack Obama didakwa melakukan jenayah perang oleh tribunal antarabangsa yang pernah menyiasat kekejaman tentera Amerika Syarikat (AS) ketika Perang Vietnam.

Menurut Tribunal Russell, Ketua Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso dan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Anders Fogh Rasmussen turut bertanggungjawab di dalam konflik di wilayah Donbas, tenggara Ukraine.

Perbicaraan yang diadakan di Venice, Itali itu dihadiri beberapa saksi termasuk wakil kumpulan pemisah pro-Rusia di Lugansk dan Donetsk, Galina Kozhushko yang tampil memberikan keterangan berhubung dakwaan tersebut.

Difahamkan, keputusan perbicaraan itu akan dihantar ke Kesatuan Eropah (EU), Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan beberapa agensi antarabangsa untuk tindakan lanjut, dipetik dari laporan Press TV.

Elak susahkan Doha


Kaherah: Pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir yang hidup dalam buangan di Qatar akan meninggalkan negara terbabit yang diberi tekanan hebat untuk berhenti memberi sokongan kepada kumpulan berkenaan.

Pemimpin cabang politik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan Amr Darrag berkata di laman Facebooknya bahawa beberapa anggotanya memilih untuk berpindah bagi mengelak ‘menyusahkan’ Qatar.


“Beberapa pemimpin parti kami dan Ikhwanul Muslimin juga akur dengan permintaan untuk memindahkan ibu pejabat dari Qatar,” katanya.

Dua pegawai Ikhwanul Muslimin di Qatar turut mengesahkan perkara itu.


Ikhwanul Muslimin diisytiharkan Mesir sebagai ‘organisasi pengganas’ selepas tentera menggulingkan Presiden Mohamad Mursi pada Julai 2013.


Sejak itu, pemimpinnya hidup dalam buangan di beberapa negara termasuk Turki yang dipercayai turut bakal menjadi destinasi mereka yang bakal meninggalkan Doha.

Setiausaha agung Ikhwanul Muslimin Mahmud Hussein yang sehingga kini berada di Doha dianggap mengetuai pertubuhan berkenaan berikutan kebanyakan pemimpin kanannya ditahan pihak berkuasa Mesir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/14

50 keluarga terima kediaman sementara


Khan Yunis: Lima puluh keluarga Palestin yang hilang tempat tinggal akibat keganasan Israel di Semenanjung Gaza semalam diberikan rumah mudah alih.

Kira-kira-kira 9,800 rumah musnah sementara 8,000 lagi tidak boleh didiami akibat serangan Israel sepanjang 50 hari itu. Pengerusi sebuah persatuan Gaza di Emiriah Arab Bersatu, Imad al-Haddad, menyerahkan rumah berkenaan kepada keluarga terbabit di kejiranan Khuzaa, Menurutnya, setiap unit yang mempunyai dua bilik, satu bilik air dan dapur boleh memuatkan enam orang dan dianggar berharga RM22,000 setiap satu.



Menurutnya, persatuan itu akan menyumbang 50 lagi sebelum ketibaan musim sejuk. Menurut agensi bantuan Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), 65,000 penduduk Gaza masih menumpang di sekolah sementara menanti bantuan untuk ditempatkan semula.

Mohamed al-Najjar, 60, yang kehilangan rumah tiga tingkatnya selepas musnah dalam serangan udara tentera Israel adalah antara penerima bantuan rumah mudah alih itu, semalam.


Dia yang menyifatkannya sebagai amat sesuai untuk jangka masa pendek berazam untuk membina semula rumahnya. “Saya akan bina semula rumah saya.


Kami tidak mahu tinggal di rumah sementara sepanjang masa,” katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Kembali bersekolah


Gaza: Kira-kira setengah juta kanak-kanak Gaza yang menunda penggal baru persekolahan mereka berikutan keganasan Israel sepanjang 50 hari pada Julai dan Ogos lalu, semalam mula kembali bersekolah.

Pegawai Kementerian Pelajaran Gaza, Ziad Thabet berkata, ia membabitkan 230,000 pelajar sekolah kerajaan, 200,000 pelajar sekolah yang ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan puluhan ribu lagi yang belajar di institusi swasta.

Pembukaan penggal baru itu ditunda selama dua minggu kerana kerosakan pada bangunan sekolah serta penggunaan bangunan sekolah PBB untuk menempatkan ribuan penduduk yang hilang tempat kediaman.

Israel membunuh lebih 2,100 penduduk Gaza dan merosakkan ratusan sekolah sepanjang melancarkan keganasan itu.

Ziad berkata, sekolah kerajaan diarah memberi kaunseling psikologi dan mengadakan aktiviti rekreasi sepanjang minggu pertama ini bagi membantu mengembalikan keyakinan kanak-kanak yang terjejas akibat keganasan Israel itu.

“Kami memberi latihan khas kepada lebih 11,000 guru, pengetua dan pentadbir mengenai cara menangani pelajar selepas perang,” katanya.

Menurutnya, 26 sekolah musnah sama sekali sementara 232 mengalami kerosakan teruk akibat serangan Israel.

Pembiayaan kerajaan untuk pelajaran masih lembap dengan ketiadaan peruntukan untuk perbelanjaan operasi sejak pembentukan kerajaan perpaduan antara Hamas, kumpulan yang mentadbir wilayah itu dengan Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat, awal tahun ini.

Agensi bantuan Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyumbang 130,000 beg sekolah dan peralatan mengajar untuk sekolah kerajaan.

Lebih 2,100 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya orang awam, termasuk ratusan kanak-kanak dalam keganasan terbaru Israel itu, yang ketiga dalam tempoh lima tahun.



Foto
KANAK-KANAK Palestin melintasi rumah yang runtuh akibat serangan Israel ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah, hari pertama penggal persekolahan baru, di Gaza, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

Persekolahan bermula di Gaza


Sesi persekolahan di Gaza terpaksa ditangguhkan selama dua minggu berikutan kerosakan daripada serangan Israel. - AFP
GAZA CITY 14 Sept. - Kira-kira setengah juta kanak-kanak Gaza mula bersekolah hari ini, selepas sesi itu tertangguh selama dua minggu berikutan serangan Israel selama selama 50 hari mengorbankan lebih 2,100 rakyat Palestin dan memusnahkan beratus-ratus bangunan sekolah di sini.
Menteri Pendidikan Gaza, Ziad Thabet berkata, penangguhan tersebut melibatkan 230,000 pelajar dari gred satu sehingga gred 12 di sekolah-sekolah awam, 200,000 di sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan puluhan ribu yang mendaftar di sekolah swasta.
Penangguhan itu dibuat ekoran kemusnahan sekolah-sekolah dan penggunaan sekolah PBB sebagai lokasi perlindungan kira-kira 50,000 pelarian yang masih menetap di situ, jelas Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).
Ziad berkata, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, minggu pertama sesi pembelajaran akan menyaksikan para pelajar diberikan bantuan kaunseling dan aktiviti rekreasi bagi membantu kanak-kanak dari tempoh peralihan kepada pembelajaran.
"Kami memberi latihan khas kepada lebih 11,000 orang guru serta 3,000 pengetua dan pentadbiran tentang bagaimana menguruskan pelajar selepas perang," katanya.
Sebanyak 26 buah sekolah musnah sepenuhnya sepanjang serangan Israel selama tujuh minggu itu, manakala 232 buah lagi rosak.
Pegawai Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), June Kunugi pula menyatakan kebimbangan mengenai pembiayaan kerajaan untuk pendidikan masih yang tidak jelas, dengan ketiadaan wang untuk perbelanjaan operasi sejak pembentukan kerajaan perpaduan awal tahun ini.
"Melabur dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan. Tanpa sokongan kuat dan komitmen kepada pendidikan dan perlindungan, seluruh generasi di Gaza akan hilang," katanya.
Sementara itu, UNHCR memaklumkan, pihaknya menyediakan 130,000 beg sekolah dan alat bantuan mengajar kepada sekolah kerajaan dan menjalankan program latihan kepada hampir 12,000 kaunselor sekolah, guru dan penyelia. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140915/lu_04/Persekolahan-bermula-di-Gaza#ixzz3DKir7m7T
© Utusan Melayu (M) Bhd